Paul Pogba mendakwa dia akan "berhenti bermain" jika dia fikir Manchester City tidak dapat dihambat lagi dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain tengah Manchester United itu digantung dalam pertembungan 'derby' pada tengah malam Sabtu ini selepas dibuang padang ketika melakar kemenangan 3-1 di Arsenal, hujung minggu lalu.

Menjelang sepak mula, City mendahului lapan mata di puncak, namun Pogba menegaskan jurang itu tidak terlalu luas.

"Jika saya tidak percaya (United boleh mengejar kedudukan City), saya akan berhenti bermain bola sepak sekarang," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu. "Mereka perlu menang kerana mereka tahu bahawa kami berada di belakang dan kami sedang menghampiri.

"Malangnya, saya tidak akan bermain tetapi saya akan berada di sana untuk memberi sokongan moral. Saya perlu berada di sana untuk merangsang pasukan dan semoga ia dapat membantu.

"Manchester City menentang Manchester United selalu menjadi 'derby' besar, satu bandar, dua kelab.

"Ia akan menjadi suasana hebat bagi perlawanan penting yang menemukan dua pasukan utama yang sarat dengan pemain bintang, itulah permainan yang anda mahu terlibat. Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap pasukan," katanya.

Pemain antarabangsa Perancis itu menuntut United agar mengambil mentaliti positif dalam perlawanan itu.

"Kami perlu menyerang," katanya. "Untuk memenanginya, anda perlu memberikan segala-galanya. Anda perlu menyerang dan bertahan.

"Bunuh permainan apabila anda mempunyai satu peluang kerana mereka mempunyai kualiti di bahagian hadapan dan mereka boleh membunuh permainan pada bila-bila masa.

"Mereka di puncak kerana mereka telah melakukannya dengan baik, mereka tetap menang dan mereka belum tewas, jelas mentaliti mereka sangat kuat. Mentaliti kami perlu sebagus mereka," katanya lagi.