Ole Gunnar Solskjaer berasakan Paul Pogba berpeluang untuk menikmati permulaan baru di Manchester United setelah tampil sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika seri 1-1 dengan Tottenham.

Membuat penampilan pertamanya sejak 26 Disember kerana mengalami kecederaan kaki, Pogba dijatuhkan oleh Eric Dier bagi memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bruno Fernandes sekaligus mengikat perlawanan pada minit ke-81.

Pemain skuad kebangsaan Perancis itu menunjukkan sedikit kemampuannya ketika bermain di luar bangku simpanan, sementara kombinasi yang berpotensi di bahagian tengah bersama Fernandes sekaligus memberikan bayangan awal.

Solskjaer memuji impak pemain-pemain gantian yang diturunkan ketika berdepan Spurs terutama dengan aksi Pogba, yang baru sahaja membuat lima penampilan dalam saingan Liga Perdana (EPL) pada musim 2019-20 sebelum saingan ditangguh ekoran wabak koronavirus.

"Saya berfikir persembahan dalam babak kedua layak memberikan kami satu mata, atau tiga mata. Pemain yang hadir daripada bangku simpanan telah membuat perbezaan," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Sudah tentu sumbangan Paul dapat dilihat -- dia banyak melakukan hantaran tepat untuk Marcus [Rashford], kemudian menggunakan kemahirannya ketika dia memenangi penalti.

"Pogba adalah salah seorang pemain terbaik dunia dan sangat bagus untuk pasukan dapat menggunakan khidmatnya.

"Dia gembira dapat kembali beraksi. Dia mengalami mimpi buruk apabila kecederaannya telah mengambil sembilan atau 10 bulan untuk pulih sepenuhnya."
Ketika ditanya adakah ini permulaan baru untuk pemenang Piala Dunia di kelab itu, pengendali United itu menjawab: "Saya berasa begitu.

"Dengan kedatangan Fernandes, pemain-pemain telah mendapatkan semula momentum, memiliki tahap keyakinan yang berbeza.

"Mereka perlu lebih mempercayai dengan kemampuan diri mereka sendiri, mempercayai kecergasan mereka. Mereka telah bekerja dengan sangat keras, dan saya berasakan kami melihat kesungguhan pasukan dalam separuh masa kedua."

Fernandes kini terlibat dalam enam gol liga sejak berpindah ke Old Trafford dan menjaringkan tiga daripadanya. Solskjaer mengakui kuncinya adalah memastikan kedua-dua pemain Portugal itu dan Pogba dapat turun dalam kesebelasan utama.

"Kami adalah kelab yang mahukan pemain terbaik dunia bermain bersama," kata bekas pemain Norway itu.

"Kami hanya perlu mencari keseimbangan yang tepat, menyerang dan bertahan. Itu selalu menjadi kata kunci ketika anda membuat pasukan. Saya berasakan hari ini Pogba menunjukkan dia boleh bermain dengan Bruno, dan Bruno telah menjaringkan penalti untuk kami dan mendapat meraih satu mata dalam perlawanan ini."