Gandingan Manchester United, Paul Pogba dan Marcus Rashford tampil dalam pertandingan latihan di Old Trafford semalam.

Kedua-dua pemain itu telah diketepikan kerana kecederaan jangka masa panjang sebelum kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguh Mac lalu ekoran wabak coronavirus.

Setelah melalui beberapa sesi latihan, Pogba (pergelangan kaki) dan Rashford (belakang) mengambil bahagian dalam perlawanan antara rakan sepasukan hujung minggu lalu.

Bagi pemain Perancis itu, ia perlawanan pertama sejak 26 Disember, sementara Rashford kali terakhir turun beraksi 15 Januari lalu.
Perlawanan yang diketuai oleh Harry Maguire dan Bruno Fernandes dan telah disaksikan oleh pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer.

Kali terakhir perlawanan yang diadakan di Old Trafford 8 Mac lalu menyaksikan United meraih kemenangan 2-0 ke atas Manchester City.

Skuad kendalian Solskjaer itu hanya tinggal tiga mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat ketika ini, berkunjung ke ke Tottenham untuk perlawanan pertama selepas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung.

Semua baki permainan akan dimainkan dalam stadium tertutup.