Paul Pogba mampu menjadi penentu buat Manchester United dan membantu mereka merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, menurut legenda kelab itu, Wayne Rooney.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu mengatasi defisit awal untuk menundukkan Fulham 2-1, semalam, dan keputusan berkenaan memastikan mereka kembali merampas kedudukan puncak.

Walaupun dihambat Manchester City dan Leicester City yang hanya ketinggalan dua mata -- selain juara bertahan, Liverpool, dipisahkan enam mata dengan baki satu perlawanan di tangan -- Rooney berasakan bekas pasukannya itu berkeupayaan untuk mempertahankan kedudukan mereka.

Penjaring terbanyak The Red Devils itu menyifatkan Bruno Fernandes dan Edinson Cavani sebagai suntikan kepada mentaliti kemenangan skuad itu, namun Rooney beranggapan Pogba adalah kunci harapan mereka untuk berjaya.

"Dalam beberapa tahun terakhir, Man United belum sedia untuk mencabar gelaran," kata Rooney, yang kini dilantik sebagai pengurus tetap di Derby County, kepada media malam tadi.

"Saya fikir mereka telah membina sebuah skuad yang ditunjangi sebilangan pemain utama. Fernandes yang baru masuk banyak membantu. Cavani, yang memiliki mentaliti kemenangan, juga banyak membantu -- skuad ini sudah mampu mencabar gelaran EPL.

"Enam minggu lalu, saya berkata kepada barisan kejurulatihan di pejabat saya bahawa saya berasakan Man United akan memenangi liga. Saya masih berasakannya hari ini -- dan Paul Pogba akan memainkan peranan besar dalam soal ini.

"Mereka telah membeli pemain yang memiliki mentaliti untuk menang, yang akan meringankan sedikit tekanan terhadap Paul dan membiarkannya melakukan apa yang terbaik bagi menunjukkan kualitinya di atas padang."



Kemenangan di Fulham itu bermakna United kini belum tumpas dalam 17 perlawanan EPL di tempat lawan -- menyamai pencapaian sebelum ini.

Pogba menjadi wira pasukannya menerusi gol kemenangan pada minit ke-65, jaringan keenamnya dari luar kotak penalti tetapi hanya yang ketiga dia melakukannya menerusi kaki kiri.

Selepas dikerah beroperasi di sebelah kanan ketika seri 0-0 dengan Liverpool pada awal minggu ini, pemain Perancis itu kemudian memainkan peranan tengah yang lebih dalam di Craven Cottage, namun dia tetap muncul pemain yang membuat umpanan terbanyak di kawasan lawan, secara tidak langsung membuktikan kewibawaannya.

Pogba, yang masa depannya bersama juara 20 kali itu masih dalam keraguan, turut menjaringkan gol tunggal perlawanan di Burnley baru-baru ini.