Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berpandangan bahawa pemain tengah, Paul Pogba, sudah mula menyedari keistimewaan bermain untuk kelab itu.

Pogba meledak dua gol ketika United meraih kemenangan 3-1 di laman sendiri ke atas Huddersfield Town semalam, memberikan kemenangan pertama Solskjaer dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selaku pengurus di Old Trafford.

Hubungan pemain tengah Perancis itu dengan Jose Mourinho merosot hingga dia tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh pengendali Portugis itu, yang dipecat minggu lalu.

Ketika Pogba dikaitkan dengan penghijrahan menyertai Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) atau kembali ke Juventus, dia telah menampilkan persembahan berkualiti di bawah pimpinan Solskjaer selaku pengurus sementara.

Menjaringkan dua gol ke atas Huddersfield, permainan bertahan Pogba dan kerja keras yang ditampilkan di atas padang dapat dilihat daripada pemenang Piala Dunia itu walaupun sekadar berdepan pasukan bawahan EPL.

Solskjaer berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan Pogba serta mencadangkan pemain tengah itu sudah menyedari sepenuhnya tanggungjawab bersama The Red Devils.

"Inilah Pogba yang saya kenali. Saya pernah membimbingnya ketika bersama skuad belia dan semangat yang ditampilkannya sangat memberangsangkan," katanya.

"Dia seorang pemain yang gembira dan sentiasa mengukir senyuman di atas padang.

"Apabila anda bermain untuk United, anda seharusnya gembira. Sudah tentu ia adalah tanggungjawab yang besar tetapi ia adalah satu penghormatan dan memiliki keistimewaan tersendiri."

Pogba dan United akan kembali beraksi di Old Trafford apabila menerima kunjungan Bournemouth dalam misi mencari kemenangan ketiga berturut-turut sejak pemecatan Mourinho.