Ole Gunnar Solskjaer menjelaskan Paul Pogba dan Scott McTominay "berkemungkinan besar" tidak cergas untuk menyertai perjalanan Manchester United ke Southampton bagi perhitungan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam esok.

Pogba diketepikan berikutan kecederaan pergelangan kaki yang didedahkan pengurus United itu bahawa ia tidak kaitan dengan masalah yang pernah dihadapinya musim lalu.

McTominay juga terlepas kemenangan 4-1 ke atas Istanbul Basaksehir dalam Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu ini akibat kecederaan yang belum dapat dipastikan.

Solskjaer tidak menjangka duo tengah itu akan terlibat tatkala The Red Devils akan turun memburu kemenangan keempat berturut-turut terhadap The Saints yang dalam kemuncak prestasi.

Marcus Rashford, Victor Lindelof dan Aaron Wan-Bissaka yang dikeluarkan dalam kemenangan terakhhir menawarkan kelegaan apabila dapat menjalani sesi persiapan semalam.

"Scott dan Paul tidak berlatih pagi ini," katanya semalam.

"Mereka tidak berada di rumput jadi tidak mungkin mereka akan terlibat dalam perlawanan hujung minggu ini.

"Marcus, Victor, Aaron menjalani sesi hari ini, semoga mereka baik-baik saja tetapi mereka masih belum di tahap 100 peratus."



Jesse Lingard mungkin diberi kesempatan selepas selesai program kuarantin selepas bersentuhan dengan individu yang positif COVID-19 tetapi Luke Shaw (hamstring) tidak bersedia untuk kembali.

Donny van de Beek dan Edinson Cavani masing-masing mencuri perhatian selepas diberi peluang untuk memulakan perlawanan berdepan juara Turki itu, justeru Solskjaer mencadangkan mereka akan sekali lagi diberi peluang di St Mary's Stadium.

"Jesse kembali daripada kuarantin dan dia sempat menjalani latihan selama beberapa hari dengan kumpulan pemain tersebut. Selain itu, Phil Jones akan terpinggir sehingga selepas Krismas, "katanya lagi.

"Kami beraksi pada Selasa (Rabu) lalu dan akan kembali beraksi esok, jadi sudah lama kami bersantai, kami dapat memberi cuti kepada pemain dalam tempoh sukar ini. Van de Beek dan Cavani akan beraksi dan saya yakin jika mereka pernah melakukannya, mereka mampu mengulangi."