Paul Pogba secara berseloroh mengatakan lambat-laun pemain Manchester United akan percaya mereka sudah terkena badi seandainya mereka gagal mengatasi masalah keputusan seri di tempat sendiri.

United telah diikat Stoke City, Burnley, Arsenal dan West Ham dalam empat perlawanan terakhir di Old Trafford, yang menyumbang kepada permulaan terburuk dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) buat mereka.

Pogba, yang membuat umpanan untuk gol penyamaan Zlatan Ibrahimovic ketika seri 1-1 menentang Hammers, berharap kemenangan akan dikecapi mereka tidak lama lagi.

"Kami mula memikirkan tentang badi," kata Pogba kepada SFR Sport.

"Tidak kira pasukan mana pun yang bertandang, kami menguasai mereka, sama ada Arsenal atau West Ham.

"Nasib kami akan berubah dan ketika itu, kami perlu memanfaatkannya.

"Saya masih yakin kerana kami telah mencipta peluang. Ia akan hadir. Saya yakin dengan pasukan ini. Kami hanya perlu memperincikan tumpuan kami.

"Kami dibolosi dengan gol mudah ketika menentang West Ham, juga ketika menentang Arsenal hanya memerlukan sedikit perincian.

"Saya masih yakin, semuanya akan diperbetulkan. Kami tercicir mata mudah, tapi ia akan diperbetulkan."

United akan berdepan West Ham buat sekian kalinya untuk jadual suku akhir Piala Liga pada awal pagi Khamis nanti.