Paul Pogba memiliki kebolehan untuk terus membantu Manchester United meningkat di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, kata rakan sepasukannya, Nemanja Matic.

Dua kemenangan yang diraih sejak Solskjaer mengambil-alih pasukan membuatkan harapan untuk United berada dalam kelompok empat terbaik kembali bernyala setelah ia dilihat sukar untuk dicapai di bawah kendalian Jose Mourinho sebelumnya.

Pogba juga dilihat bangkit apabila mencipta dua bantuan jaringan dalam kemenangan 5-1 ke atas Cardiff City sebelum menyumbat gol berganda ketika United menewaskan Huddersfield Town 3-1.

Namun, walaupun teruja melihat Pogba kembali ke prestasi terbaik, Matic yakin pemenang Piala Dunia itu masih mampu untuk terus meningkat.

"Seperti yang saya pernah katakan dalam temubual sebelum ini, Pogba sangat penting buat kami," kata Matic.

"Apabila dia beraksi di tahap terbaik, dia memberikan perbezaan dalam perlawanan. Pogba beraksi cemerlang ketika berdepan Huddersfield tetapi saya rasa dia mampu melakukan lebih baik.

"Perlahan-lahan, perlawanan demi perlawanan dia melakukannya dan sangat penting buat Pogba menjaringkan gol.

"Keyakinan untuk aksi seterusnya kini lebih baik dan dia perlu tahu bahawa dia masih boleh meningkat. Pogba juga sangat penting buat pasukan."

Matic merupakan pemain yang dibawa masuk ke United oleh Mourinho tetapi seperti Pogba, dia dilihat menikmati kebebasan di bawah bimbingan Solskjaer apabila menyumbat gol pembukaan ketika berdepan Huddersfield.

Dan dia mengakui perbezaan pendekatan yang digunakan oleh pengendali sementara itu.

"Sukar untuk menjawab bagaimana kami berubah," tambah Matic.

"Sudah tentu pendekatan kami berbeza kerana pasukan ini mempunyai kualiti dan kami harus memberikan yang terbaik jika mahu menang.

"Semua orang mahu tampil hebat ketika berdepan United, membuktikan mereka mampu menyaingi kami. Jadi, kami perlu tahu bahawa prestasi kami perlu meningkat. Kualiti mampu memberikan perbezaan."

United bakal berdepan Bournemouth, Ahad ini, sebelum meneruskan aksi liga menentang Newcastle United.