Ole Gunnar Solskjaer berkata Paul Pogba dapat membantu Manchester United untuk kembali menyinar selepas pemain tengah itu kini sedang bersedia untuk kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas hampir dua bulan bergelut dengan kecederaan pinggul yang dialaminya ketika menentang Everton pada 6 Februari lalu, Pogba kini sudah bersedia untuk kembali beraksi dalam saingan divisyen utama itu.

Sejak pulih daripada kecederaan itu, dia telah menjaringkan satu gol ketika pasukannya menentang AC Milan dalam Liga Europa dan turut beraksi ketika menentang Leicester City dalam Piala FA sebelum waktu rehat antarabangsa -- dia kemudian melakukan tiga penampilan bersama Perancis dan terus membina kecergasannya.

United hanya menjaringkan lebih daripada satu gol dalam satu daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam kesemua kejohanan.

Pengurus United, Solskjaer, berharap Pogba, yang kini kelihatan lebih segar, dapat membantu mereka menjadi lebih tajam bermula dengan perlawanan menentang Brighton and Hove Albion dalam perlawanan EPL di laman sendiri awal pagi Isnin ini.

"Ia pemangkin yang besar," kata Solskjaer mengenai kepulangan Pogba.

"Dia kelihatan amat segar dan bersedia untuk memulakan aksi.

"Kami sedar betapa pentingnya dia buat kami dan bertapa pentingnya kehadirannya sebelum ini.

"Apabila kehilangan pemain dengan kualiti sepertinya bagi tempoh yang panjang, ia memperlihatkan kualiti pemain lain dan kami telah melakukannya dengan amat baik.

"Tetapi dengan Paul kembali cergas menjelang penghujung musim ini dan penyerang kami kembali tajam, harap-harap kami akan kembali menyinar dan kembali menjaringkan lebih banyak gol," katanya.