Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berasakan Paul Pogba kini berada pada prestasi terbaik selepas bintang tengah itu bersinar ketika membantu kemenangan 4-1 The Red Devils ke atas Bournemouth, awal pagi tadi.

United melewati kemenangan ketiga berturut-turut di bawah kendalian Solskjaer dengan Marcus Rashford dan Paul Pogba menjadi inspirasi kepada kemenangan selesa di Old Trafford itu.

Pogba menjaringkan dua gol ketika United mendahului 3-1 menuju ke bilik persalinan dan turut menjadi pencetus kepada jaringan keempat dalam babak kedua.

Kecemerlangan itu membuktikan peningkatan mendadak pemain kebangsaan Perancis itu di bawah kendalian Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho sejak pertengahan bulan ini.

Secara keseluruhan, Pogba telah menghasilkan empat gol dan tiga bantuan jaringan di bawah pengendali kelahiran Norway itu.

"Perlawanan itu memaparkan persembahan terbaik daripada seorang pemain tengah kami.

"Dia menjadi pencetus kepada kemenangan ini.

"Dia berusaha keras, berbahaya di depan gawang, memenangi bola tinggi, menghasilkan terjahan yang baik dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Dia memaparkan aksi yang sangat efisien.

"Paul sedar dia berada di prestasi terbaik dalam perlawanan itu.

"Mungkin dia terlepas satu peluang dalam babak kedua, namun saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada apa yang dipamerkannya.

"Seperti yang saya katakan kepada semua pemain, saya mahu melihat yang terbaik daripada mereka.

"Saya mahu menyaksikan mereka menikmati setiap perlawanan dan menonjolkan kemampuan yang dimiliki.

"Kesemua pemain ini menunjukkan prestasi dengan standard yang tertinggi," katanya.

United kini menjaringkan 12 gol dalam tiga perlawanan di bawah kendalian Solskjaer.

Bekas penyerang United itu gembira apabila prestasi pasukan itu kembali menambat hati penyokong mereka dengan corak permainan bebas dan menyerang.

"Pemain kami menghasilkan peluang-peluang yang baik.

"Mereka memaparkan corak serangan yang hebat dan ia amat melegakan saya.

"Itulah yang penyokong mahukan dan setiap pemain kami menghayati setiap detik di atas padang.

"Sedikit demi sedikit, dari hari ke hari, kami menyempurnakan setiap perincian dalam pasukan ini.

"Kami mengawal separuh masa kedua dengan bijak.

"Kami sepatutnya mengendurkan serangan, namun pemain saya beraksi dengan amat sempurna," tambahnya.