Pogba kembali sertai latihan bersama United

Oleh Nafis Abdullah 21 Mei 2020 134
Pogba kembali sertai latihan bersama United
Peminat Manchester United menerima suntikan semangat selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu mendedahkan gambar pemain tengah, Paul Pogba, kembali berlatih dengan bola.

Semalam, Pogba dilihat menggelecek tatkala United berlatih dalam cuaca panas tatkala pemain Perancis itu berusaha keras untuk mendapatkan kembali kecergasan terbaik selepas mengalami kecederaan kaki.
 
United memaparkan gambar menerusi media sosial yang melibatkan Anthony Martial, Fred, Daniel James dan lain-lain.

Dalam masa sama, Odion Ighalo dan Juan Mata juga tampak tersenyum walaupun sibuk dengan senaman berbasikal sambil pemain daripada skuad utama bekerja keras untuk mengharungi saingan liga yang bakal disambung.

Kelab Liga Perdana Inggeris kembali menjalani latihan dalam kelompok kecil pada minggu ini selepas majoriti kelab bersetuju untuk menyambung sesi berlatih sebagai sebahagian daripada program Project Restart.

Kecederaan telah menyebabkan Pogba -- yang masih samar masa depannya bersama United -- hanya tampil lima kali dalam kesebelasan utama United musim ini.
 
Kali terakhir bintang berusia 27 tahun itu beraksi buat United ketika masuk selaku pemain gantian dalam pertemuan dengan Newcastle United sewaktu perayaan Boxing Day.
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen