Jose Mourinho percaya Manchester United akan memasuki tempoh perayaan Krismas dalam kedudukan mantap berikutan Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba dan beberapa pemain lain yang dalam senarai kecederaan hampir bersedia untuk kembali.

United tidak begitu bernasib baik kerana menghadapi masalah kecederaan musim ini apabila Pogba, Michael Carrick dan Marcos Rojo antara yang paling teruk terjejas, sementara pemain utama lain sempat tersisih akibat kecederaan.

Mereka juga kehilangan Ibrahimovic yang mengalami kecederaan ligamen lutut April lalu.

Bagaimanapun, United menikmati permulaan yang baik musim ini apabila menduduki tangga kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selain rekod 100 peratus dalam empat perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL).

Kekalahan 1-0 kepada Chelsea, Ahad lalu, meninggalkan United lapan mata di belakang Manchester City, namun Mourinho menegaskan bahawa pasukannya akan berada dalam kedudukan yang lebih mantap menjelang tempoh sibuk semasa Krismas nanti.

"Kami mempunyai kumpulan pemain yang kami harapkan agar pulih secepat mungkin," kata Mourinho kepada MUTV.

"Mereka perlu berusaha setiap hari dan mereka kini berada dalam kedudukan yang baik. Pogba, Ibra, Rojo, (Marouane) Fellaini -- mereka dalam kedudukan yang baik, jadi saya fikir kami boleh memasuki tempoh Krismas dan selepas itu dalam kedudukan yang kukuh," tambahnya.

United tidak akan beraksi sehingga 18 November depan kerana jadual perlawanan antarabangsa sementara ramai pemain akan menuju ke pangkuan pasukan kebangsaan mereka manakala Ander Herrera dan Chris Smalling telah diberikan cuti seminggu.

"Jadual antarabangsa bermakna majoriti pemain akan terbang dari London ke negara mereka," kata Mourinho.

"Mereka semuanya hilang dan kami mempunyai pasangan pemain yang tidak dipilih untuk pasukan kebangsaan mereka seperti (Chris) Smalling dan (Ander) Herrera. Mereka benar-benar berhak untuk diberikan cuti seminggu selepas mengharungi banyak pertandingan," ujarnya.