Jose Mourinho mengesahkan Zlatan Ibrahimovic, Paul Pogba dan Marcos Rojo kembali cergas untuk beraksi bersama Manchester United bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Newcastle United.

Penyerang veteran, Ibrahimovic, yang menandatangani kontrak selama semusim pada Ogos lalu, masih belum beraksi sejak mengalami kecederaan ligamen lutut ketika bertemu Anderlecht dalam saingan Liga Europa, pada April.

Rojo, yang mengalami kecederaan yang sama dalam aksi suku akhir di Old Trafford, juga terlepas semua perlawanan bagi musim ini manakala Pogba tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring ketika mencipta kemenangan ke atas Basel dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), September lalu.

Mourinho berkata ketiga-tiga pemain itu ada dalam perancangannya untuk diturunkan bertemu Newcastle malam ini, dan kelab telah mengesahkan pemain-pemain tersebut berada dalam skuad untuk berdepan skuad bimbingan Rafael Benitez.

"Pemain-pemain yang masih kekal dan dalam proses untuk pulih daripada kecederaan, termasuk kecederaan yang serius, sudah bersedia untuk beraksi," kata Mourinho.

Ditanya siapa yang bakal beraksi, Mourinho menjawab, "Pogba, Ibrahimovic dan Marcos Rojo."

Mourinho menyifatkan pemulihan Ibrahimovic adalah sesuatu yang menakjubkan apabila pemain berusia 36 tahun itu seharusnya berehat hingga Disember.

"Dengan Ibrahimovic, kami menggunakan khidmatnya hampir setiap perlawanan musim lalu hingga dia mengalami kecederaan. Kami belajar untuk bermain tanpa Ibrahimovic tetapi dia seorang pemain yang penting untuk kami," katanya.

Mourinho menambah kembalinya Pogba dalam kesebelasan utama pasukan akan mengubah pendekatan taktikalnya selepas bergelut dalam beberapa minggu tanpa kelibat bintang Perancis itu.

"Pogba sudah pulih, dia akan memberikan satu lonjakan untuk pasukan ini.

"Kualiti yang dimilikinya sangat mempengaruhi taktikal saya," katanya lagi.