Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, berharap dapat mengatasi masalah kejahilan di atas padang dengan menggunakan gelang tangan anti perkauman.

Pogba meminta rakan sepasukannya di United untuk menggunakan gelang tangan berwarna hitam dan putih dengan tertera kenyataan 'Tidak kepada perkauman' dan "Kita adalah satu' ketika The Red Devils menewaskan Newcastle United 4-1, kelmarin.

Hasil inspirasi daripada kempen yang dilancarkan rakan senegara, Thierry Henry, pada 2005, Pogba bertindak sendiri berbanding menunggu pihak berkuasa bola sepak membuka langkah.

"Ia idea saya untuk menggunakannya," katanya apabila ditanya mengenai gelang tangan itu.

"Saya telah berfikir untuk melakukannya tetapi tidak mahu melalui UEFA atau FIFA. Saya lakukan sendiri.

"Saya fikir kami berpeluang memiliki kuasa ini untuk menampilkan sesuatu dalam bola sepak di kaca televisyen. Orang ramai melihatnya, jadi saya fikir ia akan membuatkan mereka faham tentang sesebuah perkara.

"Saya fikir ia disebabkan kejahilan dan saya hanya mahu menunjukkan kepada semua bahawa anda adalah satu. Kami semua adalah satu.

"Saya masih ingat sewaktu kecil mengenai 'Bangkit, Bersuara'. Ia mengingatkan saya tentangnya."

Pogba menjadi sasaran ejekan perkauman pada awal musim ini selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti sewaktu United diikat Wolverhampton Wanderers 1-1 dan ia menjadi salah satu daripada insiden berprofil tinggi dalam beberapa bulan terakhir.

Jesse Lingard dan Fred turut menjadi sasaran ketika menentang Manchester City sambil pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger, melalui pengalaman sama ketika berdepan Tottenham Hotspur, minggu lalu.

"Ramai pemain dalam banyak liga, bukan hanya Liga Perdana Inggeris tetapi di Itali, Sepanyol dan lain-lain. Kami sentiasa mendengar tentang masalah ini.

"Saya tidak mahu menjadi presiden atau ahli politik. Kami hanyalah pemain bola sepak dan mahu menikmatinya. Peminat perlu menikmati aksi bola sepak yang hebat, itu sahaja.

"Ini menunjukkan kami menentangnya. Saya tidak mahu keluar dan lakukan temubual tetapi apa yang diketahui, ia membuatkan orang ramai bercakap. Rakan sepasukan, kami telah lakukannya. Fred, Andreas Pereira, saya maksudkan semua orang dan kami menentang perkara ini.

"Kami hanya untuk bola sepak dan menikmatinya. Kami lakukan apa yang dicintai. Kami memberikan kegembiraan kepada peminat, semua orang serta pemerhati sukan. Itu yang ingin disaksikan di stadium. Kami mendengar banyak perkara setiap minggu.

"Kami akan sentiasa memantaunya dalam banyak stadium. Ia menunjukkan anda menyokong setiap pemain tidak kira kulit hitam, kulit putih atau berbangsa Cina. Hanya mahu tunjukkan rasa hormat kepada semua."


Editor: Nafis Abdullah