Paul Pogba tidak sabar untuk beraksi dalam pertemuan dengan Chelsea hari ini tatkala dia mempersiapkan diri untuk berdepan individu yang disifatkan sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, Eden Hazard.

United melalui detik sukar sebelum saingan antarabangsa, mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam semua kejohanan, sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Newcastle United 3-2.

Newcastle yang dibimbing Rafael Benitez, mendahului 2-0 di Old Trafford tetapi tuan rumah bangkit sehingga lewat permainan untuk meredakan tekanan yang melanda pengurus United, Jose Mourinho.

Bagaimanapun, situasi menjadi sukar buat United apabila bertandang ke Stamford Bridge hari ini sebelum melayan kunjungan Cristiano Ronaldo dan Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, tiga hari kemudian.

Pogba gembira untuk tampil dalam aksi besar itu walaupun tidak menafikan cabaran yang bakal dihadapi berdepan anak buah Maurizio Sarri, terutama Hazard, penjaring terbanyak liga dengan tujuh gol yang sedang berada di prestasi terbaik.

"Bagi saya, aksi sebegini adalah perlawanan terbaik untuk dimainkan. Anda berdepan pemain terbaik, pasukan besar dan ia satu kisah yang hebat. Anda bermain bola sepak untuk beraksi dalam aksi yang penuh tekanan. Sebab itu anda bermain," kata Pogba.

"Anda boleh lihat musim ini Chelsea menampilkan penguasaan. Jelas sekali mereka memenangi perlawanan dan memiliki satu watak yang tidak boleh dilepaskan dalam diri Hazard.

"Orang ramai berkata Hazard di prestasi terbaik dan ketika ini, dia mungkin pemain terbaik Liga Perdana Inggeris.

"Chelsea juga beraksi cemerlang dan mendapatkan keputusan bagus. Bagi kami, selepas bangkit menundukkan Newcastle 3-2 di laman sendiri, kami perlukan mata, jadi ia bakal menjadi aksi getir. Kedua-dua pasukan memerlukan mata.

"Perlawanan ini akan menjadi sukar kerana kami beraksi di laman lawan. Ia melibatkan Chelsea bertemu United, jadi ia satu perlawanan besar."