Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mendedahkan Paul Pogba akan direhatkan sehingga Disember kerana mengalami kecederaan buku lali.

Bintang United itu mengalami masalah tersebut ketika berdepan Southampton, 31 Ogos lalu dan kelihatan bertambah buruk.

Pogba masih belum turut beraksi sejak seri 1-1 dengan Arsenal bulan lalu dan Solskjaer tidak menjangkakan pemain kebangsaan Perancis itu akan kembali beraksi dalam tempoh sebulan lagi.

"Saya berasakan Pogba perlu berehat sehingga Disember," kata Solskjaer. "Dia masih lagi direhatkan.

"Dia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dan saya berasakan dia tidak akan membuat penampilan dalam masa terdekat.

"Mungkin bertemu Sheffield United (24 November) selepas tamat perlawanan antarabangsa tetapi berkemungkinan besar anda akan melihatnya beraksi Disember ini.

"Ia merupakan kecederaan buku lali berbanding kaki. Saya bukan doktor tetapi kecederaan yang dialami memerlukan masa untuk pulih."

Pogba –- yang dikaitkan dengan gergasi LaLiga, Real Madrid dan juara Serie A, Juventus –- telah membuat lima penampilan musim ini tanpa menjaringkan sebarang gol untuk United.

Pemain berusia 26 tahun itu sekadar melakukan enam penampilan ketika United kini di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL).