Paul Pogba memasang impian untuk mewakili Real Madrid dan masih tiada sebarang perbincangan untuk memanjangkan kontraknya di Manchester United.

United memecahkan rekod pembelian termahal dunia untuk membawa kembali Pogba daripada Juventus dengan tanda harga £89 juta (RM478.5 juta) pada 2016.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Perancis itu bergelut untuk menepati jangkaan besar yang perlu dibuktikannya dengan perpindahan itu.

Pemain berusia 27 tahun berkenaan membuktikan kecemerlangannya dalam musim 2018-19, di mana dia menjaringkan 13 gol dan melakukan sembilan bantuan jaringan dalam 35 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- pulangan terbaiknya dalam satu kempen liga divisyen utama.

Namun, dia kemudian bergelut dengan masalah kecederaan dan hanya terlibat dalam empat jaringan (satu gol dan tiga bantuan) daripada 19 penampilan musim 2019-20.

Pogba meluahkan keinginannya untuk mencari cabaran baru tetapi perpindahannya daripada Old Trafford masih belum termeterai.

Kepulangan ke Juventus dan perpindahan ke Real Madrid menjadi buah mulut selama ini dan Pogba berhajat untuk berpeluang mewakili juara LaLiga itu.

"Semua pemain bola sepak mahu bermain dengan Real Madrid. Ia merupakan impian saya. Mengapa tidak suatu hari nanti?" kata Pogba sewaktu tugasan antarabangsa bersama Perancis semalam.


"(Tetapi) saya berada di Manchester dan saya cintakan kelab saya. Saya beraksi baik di Manchester, saya gembira dan mahu melakukan segala-galanya untuk meletakkan kelab itu di tempat yang selayaknya.

"Saya akan memberikan segala-galanya, sama seperti rakan sepasukan saya dan kelab itu.

"Kami semua mahu bangkit ke tahap terbaik," katanya.

Pogba merupakan sebahagian daripada skuad Perancis ketika muncul juara Piala Dunia 2018 tetapi hanya menjulang trofi Liga Europa dan EFL sejak kembali menyertai United.

Kontraknya di Old Trafford akan tamat Jun ini tetapi dia mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama setahun lagi.

Pogba masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengan kelab itu mengenai masa depannya dan menjangkakan perkara itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Terdapat banyak desas-desus tetapi saya memilih untuk tidak bercakap mengenainya. Saya memilih untuk fokus kepada bola sepak dan terutama sesi pemulihan saya.

"Saya masih belum berbincang dengan (naib pengerusi eksekutif) Ed Woodward. Masih belum ada sebarang kenyataan mengenai pembaharuan kontrak.

"Buat masa, saya berada di Manchester dan sedang berfikir untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik saya.

"Saya fikir akan ada masa untuk kelab ini berjumpa saya dan berbincang dan mungkin menawarkan saya sesuatu atau tidak.

"Belum ada apa-apa yang berlaku," katanya lagi.