MANCHESTER UNITED 4 NEWCASTLE 1

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, memuji Paul Pogba selepas pemain tengah itu tampil cemerlang sesudah kembali daripada kecederaan.


Pemain antarabangsa Perancis itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring pada September lalu tetapi dia tidak menunjukkan tanda-tanda 'berkarat' dalam kemenangan 4-1 United ke atas Newcastle United di Old Trafford, awal pagi tadi.

Pogba membuat bantuan gol untuk Anthony Martial menyamakan kedudukan 1-1, sebelum menjaringkan gol ketiga pasukannya bagi membantu United meraih tangga kedua dalam Liga Perdana.

Mourinho -- yang mendedahkan bahawa dia membenarkan Pogba membuat keputusan berapa minit dia mahu bermain -- berasakan pemain berusia 24 tahun itu membuat perbezaan yang jelas, terutama di bahagian serangan.

"Pogba berada dalam kelas yang berbeza, ia adalah apa yang kami miliki pada awal musim. Pogba dan (Nemanja) Matic, berkembang bersama dan menjadi seperti enjin pasukan," kata pengurus Portugis itu kepada BT Sport.

"Mereka mempunyai kualiti yang berbeza. Saya membenarkan Pogba membuat keputusan berapa lama dia mahu bermain. Kami membuat keputusan (untuk menggantikannya) pada masa yang baik -- ia merupakan persembahan yang hebat daripadanya," tambahnya.

Ketika Pogba digantikan oleh Marouane Fellaini pada minit ke-70, rakan sepasukan, Zlatan Ibrahimovic, juga membuat penampilan pertamanya selepas kecederaan lutut serius.

Pemain Sweden itu yang tampil daripada bangku simpanan pada minit ke-77, hampir menjaringkan gol ketika penjaga gol Newcastle, Rob Elliot, menyelamatkan volinya.

"Kepulangan pemain nyata baik. Ia terutama kepada Zlatan yang sebelum ini mengalami kecederaan. Dapat melihatnya kembali adalah sesuatu yang hebat," tambah Mourinho.

Jurulatih baru Newcastle, Rafael Benitez, berasakan jaringan kedua yang membolosi gawang sejurus sebelum rehat membuatkan pasukannya sukar mendapatkan sesuatu daripada perlawanan tersebut.

Pelawat mengejutkan tuan rumah pada minit ke-14 menerusi Dwight Gayle tetapi United mengimbangi perlawanan menerusi tandukan Martial, sebelum Chris Smalling menyudahkan hantaran lintang Ashley Young.

"Kami tahu bahawa penting untuk menamatkan perlawanan (separuh masa pertama) dengan seri, kami melakukannya dengan baik. Jelas, gol kedua mengangkat mereka, dan kemudian ia bertambah sukar pada separuh masa kedua," kata Benitez BT Sport.

"Ia mudah dan jelas -- apabila anda membelanjakan banyak wang kepada pemain dengan kualiti ini, ia membuat perbezaan dalam perlawanan.

"Kami tahu kekuatan dan kelemahan kami. Hari ini, kami mengendalikan perlawanan dengan baik tetapi sebaik mereka menjaringkan gol kedua, ia sukar sama sekali," katanya lagi.