Paul Pogba mendakwa dia dilarang daripada bercakap dengan media selepas Manchester United seri tanpa jaringan ketika menentang Valencia dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), semalam.

Pemain tengah Perancis itu tidak sunyi daripada menjadi tajuk utama akhbar British musim ini berikutan hubungan keruhnya dengan pengurus, Jose Mourinho.

Bekas bintang Juventus berkenaan telah membuat beberapa kenyataan yang menuju kepada Mourinho, termasuk ketika meminta United untuk "menyerang, menyerang, menyerang" setelah seri 1-1 melawan Wolves, bulan lalu.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan Valencia memaksa United berpuas hati untuk menamatkan empat perlawanan tanpa kemenangan yang mencalarkan imej Mourinho sebagai pengurus -- tidak pernah gagal untuk menang dalam empat perlawanan berturut-turut di tempat sendiri.

Pogba melalui zon temu bual di Old Trafford sejurus selesai perlawanan tersebut dan diminta untuk mengulas tentang prestasinya.

Bagaimanapun, dia hanya menjawab: "Saya telah diberitahu bahawa saya tidak dibenarkan (untuk bercakap)."

Pogba pada awal musim ini dilucutkan hak sebagai penolong ketua pasukan United, malah sempat berkata, 'awak nak saya mati?' apabila ditanya mengenai pendapatnya dalam kekalahan 1-3 di West Ham.

Lensa kamera Sky Sports News juga merakamkan pertelagahan Mourinho dan Pogba dalam sesi latihan minggu lalu.