Pogba berhak diberi ruang pulih prestasi, kata Solskjaer  

Oleh Shaiful Shamsudin 4 November 2020 234
Pogba berhak diberi ruang pulih prestasi, kata Solskjaer  
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mempertahankan prestasi Paul Pogba kebelakangan ini sambil mengingatkan pengkritiknya bahawa pemain Perancis itu baru pulih daripada kecederaan dan COVID-19 dalam beberapa bulan terakhir.

The Red Devils menampilkan permulaan goyah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020-21 apabila hanya mengumpulkan tujuh mata daripada enam perlawanan.

Mereka gagal memperagakan persembahan jitu dalam kekalahan kepada Crystal Palace termasuk Tottenham dan baru-baru ini kepada Arsenal, sementara pertemuan dengan Chelsea berakhir tanpa jaringan di Old Trafford.

Ia adalah pertama kalinya sejak 1972-73 bahawa United gagal memenangi salah satu daripada perlawanan berdepan empat pasukan teratas, kekalahan 0-1 kepada The Gunners pada Ahad lalu mengakhiri penantian Arsenal untuk memadam rekod 14 tahun tanpa kemenangan di Manchester.

Pogba bertanggungjawab atas kekalahan itu apabila dia secara tidak sengaja menjatuhkan Hector Bellerin di dalam kotak penalti biarpun kedudukan pemain Sepanyol itu sebenarnya sudah membelakangi gawang.

Kritikan terhadap United berterusan sejak itu, tetapi persoalan mengenai komitmen Pogba semakin jauh selepas pemain tengah berkenaan gagal mempamerkan sebarang prestasi memberangsangkan pada musim ini. 

Lantaran itu, ia mengundang simpati Solskjaer terhadap anak buahnya tersebut.

"Paul sedar dia sepatutnya mampu melakukannya dengan lebih baik lagi," kata pengurus dari Norway itu menjelang perjalanan Liga Juara-Juara (UCL) ke Istanbul Basaksehir awal pagi esok. 

"Dia mengakuinya. Begitulah bola sepak -- bertekalan tinggi, tempo tinggi.

"Setiap pemain berasa kecewa selepas tewas, begitu juga dengannya. Kami memerlukan ketekunan daripada setiap pemain kami.

"Paul telah melalui tempoh yang sulit berikutan kecederaan musim lalu dan COVID-19 musim ini, jadi saya rasa kami telah melihat banyak positif baru-baru ini dan mudah-mudahan ia akan berlanjutan."


 

Bekas kapten United, Roy Keane, antara yang paling lantang mengkritik juara liga 20 kali itu pada hujung minggu lalu ketika memainkan peranannya sebagai pemerhati di televisyen dengan menggariskan karakter lemah dan kepemimpinan pasukan terbabit.

Ketua pasukan ketika ini, Harry Maguire, antara pemain yang menjadi perhatian utama tetapi Solskjaer tidak berhasrat memanjangkan pandangan seperti itu. 

"Saya tidak menonton ulasannya tetapi kami di sini tidak mewujudkan perkara negatif, kami tetap positif dan saya boleh katakan terdapat ramai pemimpin dalam kalangan skuad ini daripada segi kakitangan dan pemain," katanya.


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen