Tottenham Hotspur layak untuk berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris tetapi masih belum membuktikan kredibiliti sebenar bagi mencabar kejuaraan, kata pengendali pasukan, Mauricio Pochettino.

Spurs memintas Manchester City untuk naik ke tangga kedua liga selepas membelasah Bournemouth 5-0 di Wembley ketika saingan sehari selepas Krismas.

Ia adalah kemenangan kelima berturut-turut, membolehkan mereka dibezakan enam mata dengan pendahulu liga, Liverpool, tatkala City dikejutkan dengan kekalahan di tangan Crystal Palace dan Leicester City.

Bagaimanapun, Pochettino menuntut anak buahnya agar mempamerkan persembahan konsisten untuk benar-benar mencabar kejuaraan liga musim ini.

"Kami berada dalam kedudukan terbaik. Saya rasa kami layak untuk berada di posisi ketika ini," katanya.

"Namun, apa yang penting adalah menjadi pencabar kejuaraan sehingga akhir musim. Kami perlu tampil konsisten sepanjang musim.

"Saya rasa City telah menunjukkan sebelum ini bahawa mereka adalah pencabar utama kerana menjulang trofi liga musim lalu dan sudah tentu pelaburan Liverpool menunjukkan pulangan tatkala mereka kini di puncak liga.

"Kedua-dua pasukan ini lebih realistik untuk berfikir selaku pencabar utama di penghujung musim ini.

"Kami berada di situ kerana percaya dan bekerja keras, selain turut memiliki kualiti. Jika tidak, sukar untuk berada di mana kami duduk ketika ini.

"Kami masih menjadi satu tanda tanya. Jika kami boleh konsisten sepanjang musim seperti apa yang dilakukan dalam babak pertama saingan, kami boleh bercakap tentang perebutan sesuatu yang besar," katanya lagi.

Spurs akan menyambung aksi liga apabila melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers di Wembley esok tatkala Pochettino mendedahkan pemain yang terlepas pertemuan dengan Bournemouth akibat kecederaan paha, Dele Alli, tidak sabar untuk kembali beraksi.

Namun, pemain tengah England itu perlu melepasi ujian kecergasan terlebih dahulu.

"Ia adalah petanda baik apabila semua pemain mahu terlibat," tambah Pochettino.

"Ia meningkatkan tahap persaingan dalam skuad dan sudah tentu ia membantu untuk mendapatkan keputusan terbaik."