Pochettino: Tottenham bermain dengan cara salah

Oleh Staff Writer 30 Disember 2018 2138
Pochettino: Tottenham bermain dengan cara salah
Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, berkata pasukannya menggunakan pendekatan yang salah ketika bertemu Wolverhampton Wanderers sehingga menyebabkan mereka tewas mengejut 3-1 di Wembley, semalam.

Spurs meraih pendahuluan dalam babak pertama menerusi rembatan cantik Harry Kane tetapi jelas tidak dapat mempamerkan persembahan memukau seperti ketika membenam Everton dan Bournemouth sebelum ini.

Setelah dikejutkan dengan kebangkitan Wolves dalam babak kedua, Willy Boly, Raul Jimenez dan Helder Costa menyumbat gol buat pelawat.

Keputusan itu menamatkan rentetan lima kemenangan Spurs dan merencatkan usaha mereka untuk menghidupkan peluang meraih kejuaraan liga walaupun sebelum itu memintas Manchester City di tangga kedua susulan kemenangan 5-0 ke atas Bournemouth.

"Kami tidak menguasai bola dalam babak kedua," kata Pochettino.

"Kami beraksi dengan cara salah berbanding sepatutnya, melakukan terlalu banyak hantaran jauh serta kekurangan tenaga dalam babak kedua.

"Sukar untuk bangkit apabila lawan menjaringkan gol penyamaan. Namun, inilah bola sepak.

"Kami melalui prestasi baik dalam beberapa minggu ini dan jelas sekali sukar untuk mengekalkannya.

"Kami cuba melakukan sesuatu dalam separuh masa kedua tetapi gerakan kami terlalu ke depan dan saya rasa kami terpaksa membayar usaha dalam perlawanan lain," tambah pengendali dari Argentina itu.

"Kami bukan mesin. Kami perlu faham bahawa kami tidak boleh mengawal situasi itu.

"Saya rasa kami silap dalam mengawal bola dan membiarkan mereka mencipta peluang menerusi gerakan yang dilancarkan," ujarnya.

Spurs kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool, selepas skuad bimbingan Jurgen Klopp itu membelasah Arsenal 5-1 awal pagi tadi.

Tottenham akan berkunjung ke Cardiff City awal pagi Rabu ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen