TOTTENHAM HOTSPUR 3 ASTON VILLA 1

Mauricio Pochettino menegaskan dia tiada sebarang isu dengan Jan Vertonghen selepas meminggirkan pemain itu ketika Tottenham Hotspur meraih kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Belgium itu bermula dalam 22 perlawanan liga musim lalu, namun diketepikan ketika berdepan pasukan baru, Villa, dengan Davinson Sanchez dan Toby Alderweireld menjadi pilihan manakala Serge Aurier diletakkan di bangku simpanan di Stadium Tottenham Hotspur.

Jaringan awal John McGinn memberikan pendahuluan buat Villa dan mereka mempertahankannya hingga minit ke-73 sebelum Tanguy Ndombele menyamakan kedudukan dan jaringan berganda Harry Kane memberikan kemenangan buat Spurs.

Pochettino berkata peminggiran Vertonghen itu hanya bersifat taktikal sambil berkata kepada Sky Sports: "Dengan semua pemain yang cergas, pada masa akan datang, kami akan bergelut untuk mencari kesebelasan utama.

"Kami mempunyai 25 pemain yang sedang menantikan peluang untuk menyertai pasukan utama.

"Kami mempunyai ramai pemain yang amat baik di semua posisi.

"Kami tidak boleh menggunakan 13 atau 14 pemain sahaja.

"Ia sentiasa merupakan pertimbangan daripada pengurus dan staf kejurulatihan.

"Jika kami tewas, keputusan saya amat buruk; jika kami menang, kami akan meneruskannya.

"Saya akan menurunkan pemain yang saya rasakan benar-benar layak.

"Tiada sebarang isu tentang itu.

"Terutama Jan, seperti pemain lain yang tidak beraksi hari ini, ia memerlukan kerja keras untuk memperoleh peluang beraksi dan membuktikan saya silap apabila tidak menurunkan mereka," katanya.

Kemasukan Christian Eriksen dalam babak kedua kelihatan melonjakkan mutu permainan Spurs, sembilan minit seblum Ndombele menjaringkan gol jarak jauh gemilang dalam penampilan pertamanya.

Pochettino mengakui percaturannya dalam babak pertama tidak menjadi, dengan berkata: "Kami agak keliru, namun ia sentiasa salah saya kerana saya adalah pengurus.

"Taktikal posisi kami... ia tidak menjadi dalam babak pertama, secara jujurnya.

"Kami bermula dengan pemilihan yang salah dan mendapati posisi itu tidak membantu kami.

"Itu kesilapan saya.

"Dalam babak kedua, kami memperbaikinya.

"Kami membantu pasukan untuk menggerakkan bola dengan lebih baik.

"Kemasukan Christian membantu pasukan meraih kemenangan, namun kita sedang bercakap mengenai pemain dengan kualiti tertinggi," katanya.

Rakan sejawatannya di pihak pasukan lawan, Dean Smith, menggunakan empat daripada 12 pemain baru yang diperoleh dalam jendela perpindahan lalu, dengan Tom Heaton, Bjorn Engels, Trezeguet dan Wesley melakukan penampilan kompetitif pertama buat Villa.

Smith menolak tanggapan bahawa barisan pemain barunya itu bergelut mencari keserasian dengan berkata: "Ia sebenarnya tidak sesukar itu.

"Saya pernah berkerja dengan lima daripada mereka sebelum ini, jadi penyatuan itu sudah ada.

"Mereka sudah menyesuaikan diri dan sudah tahu standard yang kami perlukan.

"Semua yang berada di sini sedar kesukaran yang kami hadapi untuk berdepan pasukan Mauricio.

"Ia pengajaran yang berguna," katanya.