Mauricio Pochettino percaya tiada pasukan yang memiliki pengaruh yang lebih besar dalam bola sepak Inggeris daripada Southampton yang diuruskannya selama satu tahun setengah sejak Januari 2013.

Pochettino kekal sebagai salah seorang pakar taktikal paling diminati dalam kancah itu sebelum dipecat Tottenham November lalu.

Tepat setahun yang lalu, bekas pasukan bimbingannya itu tewas 0-2 kepada Liverpool dalam final Liga Juara-Juara (UCL).

Pasukan kendalian Jurgen Klopp tersebut kemudian menguasai musim ini, sehubungan itu Pochettino mencadangkan bola sepak tempo tinggi yang dipertaruhkan pengurus berbangsa Jerman berkenaan termasuk Pep Guardiola di Manchester City terbukti mendapat inspirasi untuk menempuhi kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi pembabitan awalnya di St Mary's.

"Bola sepak di England berubah kerana Southampton pada musim 2013-14, tidak ada pasukan lain yang memiliki pengaruh lebih besar dalam mengubah pola pemikiran di EPL," katanya dalam program Guillem Balague's Talking Football di LaLiga TV.

"Kami tiba di sebuah kelab dengan presiden seperti Nicola Cortese yang memberikan apa yang kami perlukan bagi mencipta sesuatu yang unik dalam bola sepak Inggeris. Kemampuan kami untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran itu sama sekali berbeza.

"Kami menemui sekumpulan pemain yang ingin belajar daripada pengalaman yang kami bawakan daripada bola sepak Sepanyol menerusi kualiti menerapkan gaya bola sepak yang berbeza dalam bola sepak Inggeris.

"Pemain muda mulai menyerlah dan orang ramai mulai percayakan pemain muda, ia juga mempengaruhi pasukan kebangsaan England."

Kemenangan ke atas Manchester City, Liverpool dan Chelsea merupakan kemuncak The Saints mengelak penyingkiran pada 2012-13 sebelum memacu mereka meraih tempat kelapan dalam musim berikutnya.

Luke Shaw dan Jay Rodriguez antara pemain yang mula dipanggil untuk membarisi skuad The Three Lions sambil Adam Lallana, Rickie Lambert dan Nathaniel Clyne menyertai The Reds disusuli Dejan Lovren.

Southampton menjadi pelantar yang menjulang nama Pochettino selepas dia memulakan karier pengurusannya dengan cara yang mengagumkan di Espanyol, di mana dia yakin telah mencipta kesan yang sama.




"Di Espanyol, kami merupakan barisan kejurulatihan pertama yang mula menerapkan latihan untuk memulakan permainan dari pertahanan," katanya.

"Saya mempunyai buktinya. Tonton sahaja perlawanan kelab itu sekitar musim 2010 dan 2011, kami menyusun gerakan dari pintu gol. Sebelum itu, semua pasukan gemar membuat tendangan jauh dari gawang.

"Kami yang memulakannya dan ramai orang agak terkejut. Semua orang bercakap mengenai Barcelona, Madrid, Milan.

"Tidak, tidak, sebenarnya ia dimulai oleh Espanyol menerusi kelibat Ernesto Galan, Jordi Amat, Raul Rodriguez, David Lopez, Didac Vila, Victor Ruiz, Raul Baena, Juan Forlin, Javi Marquez.

"Ramai pemain yang dibesarkan dengan gaya permainan dan falsafah yang berbeza dalam bola sepak moden yang dimainkan seperti hari ini."