TOTTENHAM HOTSPUR 1 BURNLEY 0

Mauricio Pochettino meraih kemenangan ke-100 dalam Liga Perdana Inggeris selaku pengurus Tottenham Hotspur sebaik pasukannya menewaskan Burnley 1-0 di Stadium Wembley, malam tadi.


Rekod itu diraih Pochettino dengan lebih cepat berbanding masa yang diperlukan Arsene Wenger sewaktu menjadi pengurus Arsenal.

Spurs kelihatan akan terikat tanpa jaringan sebelum Christian Eriksen menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam masa kecederaan.

Kemenangan 1-0 itu menyaksikan Pochettino meraikan kemenangannya yang ke-100 dalam liga utama England itu selepas 169 perlawanan.

Jika dihimpunkan dengan waktunya ketika mengemudi Southampton, kemenangan ke-100 Pochettino tiba ketika Spurs menewaskan Huddersfield Town 2-0, Mac lalu.

Wenger sebelum ini memerlukan 179 perlawanan bagi meraih kemenangannya yang ke-100 bersama Arsenal.

Antara pengurus lain yang memiliki rekod lebih baik adalah Jose Mourinho yang hanya memerlukan 142 perlawanan dan Alex Furguson dengan 162 perlawananan ketika membimbing Manchester United.

Turut mencatat rekod sama adalah Rafa Benitez (181 perlawanan) dan Claudio Ranieri (187 perlawanan).

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berada di landasan yang tepat untuk memecah rekod itu dengan kini meraih 69 kemenangan daripada 93 perlawanan liga.