TOTTENHAM 0 MANCHESTER CITY 1

Mauricio Pochettino memuji Tottenham ekoran persembahan bertenaga mereka ketika menentang Manchester City di sebalik kecewa kerana tumbang menerusi gol mudah Riyad Mahrez.


Juara bertahan itu meraih kemenangan 1-0 di Wembley awal pagi tadi hasil sentuhan akhir seawal minit keenam daripada Mahrez -- yang mendedikasikan golnya kepada mendiang Pengerusi Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha, yang terkorban dalam satu nahas helikopter, kelmarin

Spurs memberikan saingan hebat di atas padang, yang terus digunakan selepas perlawanan NFL pada hujung minggu, sehingga menjejaskan percubaan Harry Kane dan Erik Lamela untuk menyamakan kedudukan ekoran sentuhan yang buruk.

Pochettino enggan menyalahkan keadaan padang tetapi mengakui berang kerana dibolosi awal susulan kesilapan Kieran Trippier yang gagal membaca sepakan penjaga gawang lawan, Ederson, dengan baik.

"Keadaan padang adalah sama bagi kedua-dua pihak," katanya dalam sidang akhbar. "Saya fikir ia adalah perlawanan yang sangat berdaya saing. Kami mengakui gol awal tersebut diberikan terlalu mudah dan bola sepak menghukum anda.

"Saya sangat bangga, usaha ini hebat sekali. Pada musim lalu, sukar untuk bersaing dengan City, wujud jurang yang besar.

"Ya, mereka agak bernasib baik kerana apabila mereka membuat kesilapan, kami tidak menjaringkan gol manakala ketika kami melakukannya, mereka menyumbat gol daripada satu peluang.

"Saya kecewa dengan keputusan ini tetapi gembira dengan prestasi pasukan," katanya.

Bercakap lebih lanjut tentang situasi sukar yang dihadapi, Pochettino berkata: "Saya langsung tidak terlintas bahawa kami tidak mampu memberikan saingan. Kedua-dua pasukan cuba bermain dengan corak permainan yang biasa diamalkan.

"Sukar untuk mendominasi City kerana mereka memainkan falsafah yang sama dengan kami, iaitu cuba menguasai lawan.

"Dalam babak pertama, kami berdepan sedikit masalah kerana apabila melepaskan gol awal, adalah normal pihak lawan akan memilih langkah yang selamat.

"Begitupun, saya fikir dalam babak kedua, kami menguasai permainan. Ia sangat baik, saya gembira dengan persembahan ini."

Kekalahan Spurs itu menyaksikan mereka tercicir lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris tersebut, dengan Liverpool menghuni tangga kedua disusuli Chelsea dan Arsenal.

Bagaimanapun, Pochettino tidak menganggap pasukannya harus dinilai dalam kelompok sama seperti juara bertahan berkenaan.

"Kami tidak boleh membandingkan diri kami dengan Man City," katanya.

"Mereka berada di tahap yang berbeza, mereka telah memenangi gelaran Liga Perdana, kami hanya memberi tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan."