Pochettino pertimbang rehatkan Alli, Eriksen berdepan Palace 

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2018 51
Pochettino pertimbang rehatkan Alli, Eriksen berdepan Palace 
Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, mungkin merehatkan Dele Alli dan Christian Eriksen ketika menentang Crystal Palace sambil mengeluh jadual antarabangsa yang akan datang.

Spurs bakal bertandang ke Selhurst Park bagi aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi Ahad ini, untuk perlawanan kelima mereka dalam tempoh 13 hari dan terakhir sebelum jadual antarabangsa bulan ini.

Alli (hamstring) dan Eriksen (perut) dilanda kecederaan baru-baru in, tetapi kemungkinan akan diturunkan oleh England dan Denmark nanti.

Tidak mengejutkan, Pochettino berkata beliau lebih memilih untuk mengekalkan pemainnya di kelab itu sambil menambah bagaimana beliau mengurus anak buahnya nanti adalah mustahak. 

"Ia adalah satu perlawanan yang sukar menentang PSV dalam Liga Juara-Juara dan mereka akan mengalihkan tumpuan kepada pasukan kebangsaan yang pada pandangan saya akan menjadi sukar untuk mengharungi dua perlawanan," katanya melalui Football.London.

"Sebab itulah kami perlu berhati-hati dan hanya menurunkan pemain yang benar-benar cergas. Itulah sebabnya kami mempertimbangkan sama ada mereka akan diturunkan menentang Palace atau tidak. 

"Memang benar, jika anda bertanyakan saya adakah saya lebih suka semua pemain antarabangsa kekal di sini dan berehat selama dua minggu tanpa perlawanan, saya akan katakan ya.

"Itulah sebabnya kami berbincang tentang Dele Alli dan Christian Eriksen serta tugasan antarabangsa. Mereka akan terus dikerah. Jika anda melihat jadual kami untuk beberapa bulan akan datang, ia pasti sukar."

Spurs kini lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City, dan mempunyai pertembungan penting menentang Chelsea selepas rehat antarabangsa.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen