Pochettino pertahan Kane daripada Warnock

Oleh Penulis Jemputan 7 Oktober 2018 300
Pochettino pertahan Kane daripada Warnock
TOTTENHAM HOTSPUR 1 CARDIFF CITY 0

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, tampil mempertahankan penyerangnya, Harry kane, yang dikecam pengurus Cardiff City, Neil Warnock, ekoran insiden yang menyebabkan layangan kad merah kepada Joe Ralls.


Ralls diarah keluar padang sebaik melakukan terjahan melulu ke atas Lucas Moura yang disifatkan terlalu lembut buat Warnock ketika kelab Wales tersebut tewas 0-1 di Stadium Wembley semalam.

Kane terus meluru ke arah pemain tengah Cardiff itu sebelum pengadil perlawanan, Mike Dean, melayangkan kad merah.

Warnock berasakan reaksi Kane itu mempengaruhi keputusan pengadil dan menyarankan kapten England itu turut dilayangkan kad merah.

"Mike Dean tidak perlu dipengaruhi seperti itu, dia pengadil terbaik," kata Warnock.

"Dia perlu mengikut nalurinya dan memberikan kad kuning seperti yang dia inginkan. Saya tidak rasa dia mampu melakukannya dengan 15 pemain berbaju putih mengelilinginya.

"Kane melakukannya hanya untuk memperbesarkan isu, dia membuat pengadil berasakan situasi itu adalah teruk.

"Pemain England? Berkelakuan seperti itu? Maafkan saya.

"Dia terus meluru dan menolak Ralls bukan? Kenapa tidak berikannya kad merah?

"Dia tidak perlu melakukannya. Dia bermain untuk England. Saya sukakannya tetapi saya tidak fikir dia patut melakukan perkara seperti itu.

"Hanya kerana dia tidak dapat bermain baik, dia tidak patut melakukan itu kepada kami," ujarnya.

Pochettino, yang pasukannya memperoleh kemenangan menerusi jaringan Eric Dier pada minit kelapan, tampil memperjelaskan situasi tersebut.

"Kita tidak boleh mengambil serius apa yang terjadi di atas padang. Dia sememangnya seorang yang sangat bersemangat," kata Pochettino.

"Jika kami di pihak mereka, kami juga mungkin akan melakukan perkara yang sama seperti mereka," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen