Arsene Wenger memberikan nasihat kepada pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, untuk membuang perasaan takut jika mahu meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pengendali Espanyol itu menerima pujian apabila berjaya menjadikan Spurs sebagai salah sebuah pasukan pilihan dalam saingan EPL, menjadi pasukan kejutan untuk mencabar taktha liga bagi musim 2015-16 dan 2016-17 sehingga penghujung musim.

Bagaimanapun, kegagalan untuk meraih sebarang trofi menjadi persoalan sama ada Spurs gagal untuk mengawal tekanan apabila menghadapi saat genting.

Wenger, yang memenangi gelaran pertamanya dalam saingan Ligue 1 bersama Monaco pada musim 1987-88, menyifatkan perasaan takut harus diketepikan untuk muncul juara.

"Memastikan perasaan yang terkawal dan memberikan tumpuan kepada setiap pemain adalah sesuatu yang sangat penting," kata Wenger.

"Pada penghujung musim, perasaan gementar mula hadir, dan ia menjadi halangan terbesar anda. Pasukan lain akan terus memberikan tekanan dan berusaha untuk menggagalkan anda," tambahnya.