Pochettino lakukan satu kesilapan 

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2017 3750
Pochettino lakukan satu kesilapan 
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menafikan dakwaan Mauricio Pochettino bahawa dia tidak menghormati Tottenham Hotspur selepas memanggil Spurs dengan nama "pasukan Harry Kane".

Guardiola mengeluarkan kenyataan itu selepas mengekalkan kedudukan pendahulu liga susulan kejayaan menewaskan Chelsea 1-0, dua minggu lalu.

"Kami kini baru menamatkan September. Chelsea memenangi 13 perlawanan berturut-turut pada musim lalu. Kami mempunyai Manchester United dan pasukan Harry Kane, yang menjaringkan dua atau tiga gol setiap perlawanan sebagai pencabar utama," kata Guardiola pada waktu itu.

Kane nyata mencipta sensasi pada September apabila menjaringkan 13 gol untuk kelab dan negara untuk meraih anugerah pemain terbaik bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, Pochettino yang mengendalikan Spurs sejak 2014 tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawatannya itu.

Ketika sidang media bagi menghadapi Bournemouth di Stadium Wembley, bekas pengendali Southampton itu menyifatkan tindakan Guardiola sebagai sesuatu yang "menyedihkan".

"Saya amat mengenali Guardiola dan apabila dia gembira, terutama selepas menewaskan Chelsea, kadang-kala dia bergelut untuk mengekalkan tempatnya. Situasi ini tidak memberi kesan kepada saya tetapi ia jelas menunjukkan dia tidak menghormati ramai pihak," kata Pochettino.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan Pochettino itu telah mengundang reaksi berbeza daripada Guardiola.

"Saya tidak menghormati orang?" kata Guardiola sambil menunduk dan menggelengkan kepalanya.

"Saya rasa, untuk beberapa kali kami berjumpa dan bercakap, mungkin bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus.

"Saya tidak pernah membuang rasa hormat terhadap rakan sejawatan saya ketika sidang media. Tidak pernah.

"Apabila saya menyebut "pasukan Harry Kane", ia disebabkan oleh fakta bahawa Kane menjaringkan banyak gol. Saya tahu Spurs bukan mengenai Kane semata-mata," tambah Guardiola.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen