Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, kecewa dengan jaringan awal Salomon Rondon apabila menyaksikan harapan untuk mencabar takhta liga sekali lagi dihukum dengan keputusan seri 1-1 dengan West Brom di Wembley.

Rondon memberikan kelebihan kepada West Brom seawal minit keempat sebelum Spurs bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-74.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbangan Pochettino ketinggalan lima mata di belakang Manchester United manakala pendahulu liga, Manchester City, akan memiliki kelebihan 13 mata jika melakar kemenangan ke atas Huddersfield Town, hari ini.

Pengendali kelahiran Argentina itu gembira dengan usaha pemain-pemainnya tetapi kecewa apabila bolos di awal permainan meletakkan pasukannya untuk mengejar perlawanan.

"Saya berasakan kami kecewa kerana usaha yang telah dilakukan oleh pasukan tetapi jaringan awal tersebut telah mengubah rentak permainan. Pasukan lawan bertahan sepanjang perlawanan," katanya.

"Kami meningkatkan intensiti perlawanan pada penghujung 15 minit dan meningkatkan tahap permainan dan menghasilkan banyak peluang tetapi Spurs tidak klinikal.

"Kami telah banyak mengambil risiko untuk menjaringkan gol tetapi pasukan gagal menyempurnakan peluang. Kami perlu melihat ke hadapan dan melupakan keputusan ini," ujarnya.