Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, memuji persembahan Son Heung-min selepas penyerang itu meneruskan sentuhan jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Heung-min menjaringkan dua gol ketika mengatasi Bournemouth 5-0, sekali gus merekodkan gol kelimanya dalam tiga perlawanan.

Pemain berusia 26 tahun itu sudah menjaringkan 10 gol untuk Spurs bagi memacu pasukan itu ke tangga kedua EPL musim ini.

Pochettino yang bakal ketiadaan khidmat pemain kebangsaan Korea Selatan itu pada Januari ini kerana bakal bersaing dalam Piala Asia, memberikan pujian sepenuhnya kepada Heung-min.

"Sukar untuk dipercayai. Apa yang boleh saya katakan? Heung-min telah melakukan tugas yang cemerlang untuk pasukan," katanya.

"Selepas November, dia memerlukan rehat dan cuba mendapatkan semula persembahan terbaiknya. Dia mula menemui rentak ketika berdepan Chelsea dan mengulanginya dalam perlawanan ini.

"Saya berharap dia dapat mengekalkan tahap ini ketika beraksi bersama skuad kebangsaan dalam Piala Asia."

Christian Eriksen, Lucas Moura dan Harry Kane turut menjaringkan gol ketika Spurs melakar kemenanga kelima berturut-turut.