Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, mengimpikan kejayaan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menyifatkan stadium baru pasukan akan membantu menaikkan semangat pemain untuk bersaing meraih gelaran.

Spurs mengakhiri saingan liga di tangga ketiga musim lalu selepas gagal menyaingi Leicester dan musim ini, mereka menduduki tangga kelima -- ketinggalan 10 mata daripada pendahulu liga, Chelsea.

Pochettino, yang berada di White Hart Lane buat musim ketiga, yakin akan mencapai kejayaan bersama Tottenham di masa akan datang.

"Ia merupakan impian kami untuk memenangi EPL. Ia merupakan pertandingan utama kami," kata Pochettino kepada Sky Sports.

"Saya sangat gembira berada di sini -- Tottenham merupakan sebuah kelab yang besar dan memiliki ramai penyokong, kami akan cuba yang terbaik untuk memenangi sesuatu.

"Kami mengakhiri saingan liga di tangga ketiga musim lalu. Di penghujung musim, kami gagal memperbaiki kelemahan kami dan cuba untuk memastikan perkara itu tidak akan berlaku lagi.

"Kami perlu bekerja keras seperti Chelsea, Liverpool, dan Man City, mereka sudah mempertingkatkan mutu permainan mereka. Benar, saingan EPL lebih sengit berbanding musim lalu kerana hampir kesemua pasukan gergasi memantapkan skuad mereka.

Spurs berada di dalam proses untuk berpindah ke stadium baru dan bakal beraksi di Stadium Wembley untuk setiap aksi EPL musim hadapan, mengharungi saat sukar beraksi di stadium kebangsaan itu, apabila tewas dua perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (EPL).

Namun, Pochettino berharap stadium baru mereka mampu menjadi pemangkin untuk kejayaan mereka.

"Cabaran paling utama kami adalah untuk menyiapkan stadium baru ini, kami memiliki kemudahan di tempat latihan dan saya berpendapat stadium baru akan membantu kami bersaing bagi merebut gelaran."