Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, optimis beliau dapat menurunkan Dele Alli, Harry Kane, Hugo Lloris dan Harry Winks untuk perlawanan bertemu Arsenal tetapi Toby Alderweireld terpaksa direhatkan.

Alli, Kane dan Winks menarik diri daripada skuad England untuk perlawanan persahabatan bertemu Jerman dan Brazil manakala Lloris terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Crystal Palace kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Kuartet itu mengambil bahagian dalam sesi latihan semalam dan Pochettino berharap mereka dapat bebas daripada kecederaan untuk menghadapi The Gunners tetapi masalah hamstring masih lagi memaksa Alderweireld untuk direhatkan.

"Saya berharap mereka dapat diturunkan tetapi kami perlu membuat keputusan sebelum perlawanan bermula," kata Pochettino.

"Saya sangat gembira, jika mereka tidak dapat beraksi esok, mereka semestinya dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Borussia Dortmund (dalam saingan Liga Juara-Juara)," katanya.