WEST HAM UNITED 1 TOTTENHAM HOTSPUR 3

Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, melaungkan pujian terhadap pengurus Arsenal, Unai Emery, sebaik pasukannya itu akan berdepan seteru setempat mereka dalam suku akhir Piala EFL.


Dua gol daripada Son Heung-min dan jaringan lewat permainan daripada Fernando Llorente memastikan laluan Tottenham ke kelompok lapan pasukan terbaik selepas mereka menewaskan West Ham United di Stadium London, awal pagi tadi.

Ganjarannya, mereka akan bertandang ke Stadium Emirates pada 17 Disember nanti dengan kenangan Emery sebagai pengendali Espanyol tidak akan menghalang Pochettino daripada memberikan perancangan terbaik walaupun beliau memuji pengurus The Gunners itu menjelang pertembungan setempat tersebut.

"Saya menghormatinya serta barisan kejurulatihan miliknya," kata Pochettino yang turut akan berdepan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris, 2 Disember depan.

"Ia pasti akan menjadi perlawanan yang menarik.

"Emery adalah rakan baik saya, beliau mempunyai barisan kejurulatihan yang baik.

"Sudah tentu kerana beliau melakukannya dengan baik bersama Arsenal dan akan meneruskan rentak itu."

Pochettino melakukan 10 pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika tewas kepada Manchester City, kelmarin.

Pertukaran utama adalah dengan menyenaraikan Heung-min yang menjadi tumpuan utama sebaik dia memaparkan penyudah kemas.

Dua jaringan tersebut menamatkan kemarau tujuh bulan penyerang itu, namun Pochettino mengakui bahawa beliau tidak pernah meragui kemampuan pemain antarabangsa Korea Selatan itu yang telah menjaringkan 14 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

"Ia sangat penting untuk mara ke suku akhir dan ia menjadi peluang kepada ramai pemain untuk memaparkan kualiti mereka.

"Ia sebuah persembahan yang baik," tambah Pochettino.

"Heung-min telah berusaha keras untuk mengubah situasi dan kini dia telah memperoleh keyakinannya kembali.

"Dalam beberapa bulan ini, dia kerap mencabar diri untuk beraksi lebih baik.

"Saya sangat gembira dan berbangga. Kami bermain untuk dua perlawanan kompetitif dalam tempoh 48 jam.

"Usaha yang diberikan sangat baik. Saya sangat gembira."