Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, memahami keputusan Maurizio Sarri meninggalkan Chelsea untuk menyertai Juventus.

Walaupun membantu The Blues menjulang kejuaraan Liga Europa musim lalu, pengendali berbangsa Itali itu tiba ke Turin bulan lalu selepas setahun berkhidmat di Stamford Bridge.

Kedua-dua pengendali itu akan bertemu buat kali pertama sejak Sarri meninggalkan Liga Perdana Inggeris, apabila Tottenham Hotspur berdepan Juventus dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura, hujung minggu ini.

Menjelang pertemuan itu, pengendali Spurs itu percaya perpindahan Sarri merupakan sesuatu yang masuk akal dan yakin jurulatih itu mampu membantu juara Serie A berkenaan memenangi lebih kejuaraan.

"Saya masih belum bercakap dengannya tentang perasaannya (tentang perpindahan itu)," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Sebagai jurulatih berbangsa Itali, Juventus merupakan pasukan terbesar di dunia, jadi sudah pasti ia merupakan impiannya untuk berada di sana dan menerima tawaran itu.

"Saya fikir dia jurulatih yang hebat dan Juventus pasukan yang hebat, jadi dengan gandingan itu, mereka akan meraih kejayaan yang hebat," katanya.

Mengenai perlawanan Ahad ini, Pochettino mengesahkan pemain bintangnya seperti Harry Kane dan Son Heung-min, akan diturunkan untuk menentang Juventus di Stadium Nasional Singapura.

"Sudah pasti, mereka berada di sini untuk beraksi dalam aksi pra-musim.

"Buat penyokong kami (di Singapura), bertenang, kesemua pemain kami akan mengambil bahagian dalam separuh masa pertama dan kedua," katanya.