Pochettino dedah berikan Tottenham terbaik dalam dirinya

Oleh Staff Writer 29 November 2019 467
Pochettino dedah berikan Tottenham terbaik dalam dirinya
Mauricio Pochettino mengucapkan terima kasih kepada Tottenham Hotspur tatkala bekas pengurus itu membuka mulut untuk berkata dia sudah memberikan yang terbaik buat kelab itu.

Selepas mengendalikan Spurs selama lima tahun enam bulan, Pochettino dipecat minggu lalu selepas permulaan suram dalam liga sehingga meletakkan mereka dalam kelompok bawahan musim ini.

Jose Mourinho dilantik selaku penggantinya dan sejak itu, Spurs meraih dua kemenangan berturut-turut menewaskan West Ham United dan Olympiacos.

Pochettino meninggalkan pesanan buat seluruh skuad di papan tulis pusat latihan kelab itu tetapi memberikan kenyataan pertama sejak dipecat, semalam.

Pengurus berusia 47 tahun itu membawa Spurs secara konsisten ke pentas Liga Juara-Juara Eropah, dengan mara ke final musim lalu dan memberikan cabaran sebenar serta kejayaan yang menggembirakan.

"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada pemilik kelab, Joe Lewis, dan pengerusi, Daniel Levy, kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Spurs," katanya.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada semua yang ditemui di Tottenham, staf pasukan serta pemain bola sepak sepanjang lima tahun enam bulan di sana.

"Terakhir, saya mahu memberikan penghargaan istimewa buat semua penyokong yang menjadikan kelab ini hebat dengan sokongan mereka.

"Saya memberikan sesuatu yang terbaik daripada diri sendiri untuk mencapai objektif yang diminta dalam mesyuarat pertama kami. Kami berdepan cabaran getir serta kejayaan yang menyeronokkan.

"Selamat maju jaya untuk masa depan, saya pasti kami akan bertemu lagi."

Sebelum meninggalkan Stadium Tottenham Hotspur, Pochettino dikaitkan dengan Manchester United dan Real Madrid, sambil Bayern Munich juga dilaporkan berminat dengannya susulan pemecatan Niko Kovac.

Tatkala tekanan kian memuncak buat Unai Emery di Arsenal, Pochettino juga merupakan antara pilihan untuk mengendalikan seteru terdekat Spurs itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen