Mauricio Pochettino meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap jurulatih Belgium, Roberto Martinez, kerana mendedahkan pemain pertahanan Tottenham, Jan Vertonghen, dijangka tersisih selama enam minggu.

Semalam, Vertonghen dilepaskan daripada tugasan bersama skuad Red Devils itu disebabkan kecederaan hamstring yang ditanggungnya dalam kemenangan 2-0 Tottenham di Huddersfield Town, hujung minggu lalu.

Tiada tempoh masa diberikan mengenai kepulangan pemain berusia 31 tahun itu sehinggalah pengurus Belgium mendedahkan pertahanan itu mungkin terlepas aksi antarabangsa sehingga bulan depan ketika mengumumkan skuadnya.

Sidang berita itu berlaku sebelum Pochettino bertemu dengan media semalam dan pengurus berbangsa Argentina itu berpendapat ia bukan tempat yang ideal buat Martinez untuk mendedahkan masalah Vertonghen.

Menjawab soalan mengenai panggilan Harry Winks dalam skuad England, Pochettino memberitahu pemberita: "Sangat sukar untuk berkomunikasi dengan semua pasukan kebangsaan. Lihatlah sekarang, sebelum sidang akhbar ini, anda sudah tahu tentang situasi Vertonghen kerana Roberto memberitahu media di Belgium sebelum kami melakukannya.

"Tetapi, pada akhirnya, dia merupakan pemain kami, pemain Tottenham, pekerja Tottenham.

"Kami berada di sini tetapi kami pula terpaksa menjelaskannya. Mereka perlu menghubungi kami dan bertanya.

"Jika mereka mendapatkan kami, kami lebih bersikap terbuka untuk bercakap dan memberikan pendapat kami, tetapi jika mereka tidak melakukannya, pintu kami sentiasa terbuka untuk menerima panggilan mereka."

Pembantu kepada Pochettino, Jesus Perez, turut hadir dalam sidang akhbar itu dan mendedahkan Vertonghen dijangka menjalani imbasan kedua pada Isnin ini bagi menentukan sejauh mana tahap kecederaan itu.

"Sudah tentu, kami sangat kecewa dengan situasi ini tetapi kami akan mengenal pasti sama ada ia melibatkan sehingga enam minggu atau kurang," tambah Pochettino.