WATFORD 1 TOTTENHAM 1

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, menyifatkan pasukannya menampilkan "watak yang luar biasa" apabila bangkit selepas Davinson Sanchez dibuang padang untuk seri 1-1 dengan Watford, semalam.


Sanchez dilayangkan kad merah selepas menyiku Richarlison pada minit ke-52 dan Spurs telah melepaskan peluang untuk meraih kemenangan pertama dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Keputusan seri sudah memadai untuk memintas Burnley dan menghuni tangga keenam, dengan naib juara EPL musim lalu itu kini ketinggalan empat mata daripada slot beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Pochettino enggan berbincang pendapatnya mengenai layangan kad merah kepada Sanchez itu, sebaliknya memberikan pujian di atas persembahan skuad bimbingannya.

"Saya sangat gembira. Saya kecewa dengan keputusan perlawanan sejak kebelakangan ini tetapi saya tidak memiliki sebarang kata-kata negatif di atas persembahan mereka," katanya.

"Pemain-pemain kami sentiasa cuba memberikan asakan dan berusaha untuk menjaringkan gol.

"Saya sangat berbanggan dengan watak yang telah mereka pamerkan."

Pochettino turut menafikan perasaan tidak puas hati Dele Alli selepas digantikan pada minit ke-86.

Pemain tengah itu menggeleng-gelengkan kepalanya selepas mengikut Christian Eriksen dan Son Heung-min ke bangku simpanan.

"Seperti Eriksen dan Heung-min, pemain-pemain juga memiliki rasa kecewa kerana gagal meraih kemenangan.

"Hari ini kami mahu meraih kemenangan tetapi saya berbangga dengan kebangkitan Spurs," katanya lagi.