Pengurus Arsenal, Unai Emery, menyifatkan Mauricio Pochettino sebagai antara jurulatih terbaik dunia setanding Pep Guardiola dan Diego Simeone.

Arsenal akan berdepan skuad kendalian Pochettino, Tottenham Hotspur, dalam pertemuan 'derby' London dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam ini.

Menjelang pertemuan itu, Emery turut melaungkan bahawa rakan sejawatannya itu merupakan antara jurulatih terbaik dunia.

"Dia mempunyai karier yang sangat konsisten.

"Dia pernah bekerja di Sepanyol sebelum mengemudi Southampton dan Tottenham, dengan ramai pemain muda telah diketengahkan.

"Saya berasakan dia layak menerima penghargaan setinggi itu memandangkan dia mempunyai karier yang setanding Guardiola dan Simeone," katanya.

Pochettino, 46, masih menantikan kejuaraan pertamanya sebagai jurulatih.

Ia berbeza dengan Guardiola dan Simeone yang telah banyak mengecap kejuaraan bersama pasukan masing-masing.

Pochettino pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, namun Emery berasakan khidmat pengurus itu lebih diperlukan Spurs.

"Buat masa ini, saya yakin dia gembira mengendalikan Tottenham.

"Dia amat menghormati kelab itu.

"Saya tidak pasti sama ada perpindahan itu akan berlaku.

"Setiap jurulatih perlu sedar prestasi mereka bergantung kepada keputusan pasukan yang dibimbing.

"Dia disegani dalam saingan Liga Perdana Inggeris kerana telah melakukan yang terbaik bersama Tottenham.

"Mereka berada di prestasi terbaik, namun kami mahu membuktikan keupayaan di depan penyokong kami," tambahnya.