Paul Pogba bukan lagi pemain paling teruk dalam Liga Perdana Inggeris, kata Jose Mourinho kepada media selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Fenerbahce dalam saingan Liga Europa.

Pogba menjaringkan dua gol, dengan jaringan keduanya hadir dari jarak 25 meter, sekaligus menghadiahkan kemenangan selesa United ke atas kelab Turki itu di Old Trafford.

Robin van Persie meledak gol sagu hati buat pasukan pelawat berdepan kelab lamanya itu dan Mourinho memuji keampuhan Pogba dalam menerajui bahagian tengah selepas pemain Perancis itu dikecam ketika berdepan Liverpool yang berkesudahan 0-0.

"Dua hari yang lalu, dia pemain paling teruk dalam Liga Perdana Inggeris dan 48 jam kemudian, dia cukup menakjubkan," Mourinho memberitahu BT Sport. "Dia cuma perlukan masa.

"Saya pernah menjadi jurulatih di Itali, saya tahu corak permainan di sana.

"Selepas berada di Itali selama empat hingga lima tahun, kemudiannya kembali ke Liga Perdana Inggeris, ia bukan sesuatu yang mudah untuk membiasakan diri.

"Pemain terbaik dunia juga memerlukan masa."