Fulham tewas 1-2 kepada Cardiff City dalam perlawanan kedua playoff ke Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi tetapi mara ke final dengan kelebihan agregat 3-2 untuk mencongak perhitungan dengan seteru London, Brentford.

Pasukan tuan rumah itu berkelebihan lapan mata berbanding lawan berkenaan dalam Liga Kejuaraan musim ini dan membawa kelebihan 2-0 daripada perlawanan di South Wales Isnin lalu.

Tiada pasukan pernah menterbalikkan defisit dua gol daripada perlawanan pertama tetapi Cardiff hampir melakukannya menerusi tandukan Curtis Nelson pada minit kelapan di Craven Cottage.

Fulham, bagaimanapun, hanya memerlukan 54 saat untuk mengembalikan kelebihan agregat dua gol dengan Neeskens Kebano menemui sasaran ketika menewaskan penjaga gol, Alex Smithies, pada minit kesembilan.

Suhu perlawanan itu kembali berubah selepas 82 saat babak kedua bersambung apabila Lee Tomlin, yang baru sahaja dimasukkan, menyepak masuk voli susulan tandukan Mendez-Laing yang dikeluarkan penjaga gol, Marek Rodak.

Percubaan jarak jauh Aboubakar Kamara kemudian ditepis keluar Smithies sebelum Cardiff meneruskan asakan sehingga ke penghujung saingan, namun ia tidak mampu menghalang kemaraan Fulham untuk bertemu Brentford dalam final di Stadium Wembley, Rabu depan.