Jurgen Klopp mengetahui Liverpool perlu menutup setiap lorongan kepada Jamie Vardy ketika berkunjung ke Leicester City dalam pertemuan di antara dua kelab teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

The Reds kembali ke pentas domestik sehari selepas Krismas berikutan kejayaan merangkul Piala Dunia Kelab di Qatar, dengan kunjungan ke Stadium King Power.

Leicester terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan hujung minggu lalu apabila tewas 3-1 kepada penyandang juara, Manchester City.

Liverpool kini berpeluang untuk menjarakkan lagi kedudukan dengan pencabar terdekat, The Foxes, dan perlu menutup peluang buat penyerang utama mereka, Vardy, daripada menjaringkan gol.

Bekas pemain kebangsaan England itu telah menjaringkan 17 gol dalam saingan EPL musim ini, namun Klopp menyedari skuad kendalian Brendan Rodgers itu bukan sahaja tertumpu kepadanya.

"Dia seorang pemain yang menakjubkan. Sejak saya tiba di England, dia merupakan antara tiga yang terbaik," katanya.

"Vardy sentiasa menjaringkan gol, sukar ditangani pertahanan dan bijak melepasi perangkap ofsaid. Seorang pemain yang benar-benar berbahaya.

"Tetapi dalam bola sepak, apa yang boleh anda lakukan ialah memintas serta menutup peluang dan hantaran kepadanya dengan sebanyak mungkin.

"Namun, Leicester tidak bergantung sepenuhnya kepada Vardy -- Rodgers telah melakukan sesuatu yang menakjubkan apabila berjaya membentuk sebuah pasukan berkualiti," katanya lagi.