Jordan Pickford mempunyai beberapa perkara untuk diperbaiki tetapi tiada penjaga gol England yang lebih baik daripadanya, kata legenda Everton, Neville Southall

Pickford berdepan kempen sukar bersama Everton musim lalu, di mana dia melakukan empat kesilapan yang mengundang jaringan lawan -- hanya Martin Dubravka mempunyai rekod lebih buruk dengan lima kesilapan -- untuk skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu menamatkan saingan di tangga ke-12.

Walaupun Dean Henderson dan Nick Pope mempamerkan prestasi memberangsangkan, Pickford masih mengekalkan tempatnya selaku penjaga gol utama England kendalian Gareth Southgate dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Iceland dan Denmark bulan ini.

Legenda Everton, Southall, percaya Southgate telah melakukan keputusan yang tepat sambil menegaskan Pickford telah berdepan dengan kritikan yang tidak adil.

"Saya fikir ia agak mudah. Adakah terdapat penjaga gol yang lebih baik di England? Tiada, jadi dia perlu menjadi pemain nombor 1 England," katanya kepada Stats Perform News.

"Saya tidak fikir ada persoalan mengenai perkara itu. Siapa lagi mahu diturunkan?

"Bukan mahu merendahkan pemain lain tetapi mereka tidak sebagusnya.

"Adakah dia melalui musim yang buruk? Saya fikir dia melaluinya, namun dari sudut berbeza, dia mungkin membuatkan Everton kehilangan sembilan mata tetapi dia menyelamatkan enam mata lain, jadi hanya tinggal tiga mata sahaja.

"Kerugian tiga mata dalam satu musim tidaklah seburuk disangka. Apabila anda melihat seperti itu. Bagi saya, dia akan sentiasa menerima kritikan.

"Anda dapat melihat pemain seperti Joe Hart dan Rob Green, apabila anda menyertai skuad England, anda akan menjadi tumpuan untuk dikritik orang ramai. Segala yang anda lakukan akan menjadi kesalahan.

"Saya tidak fikir Jordan sudah menghampakan England jika Gareth menilainya berdasarkan apa yang telah dilakukannya untuk England.

"Bila waktunya dia bermain dengan buruk untuk England?

"Jika saya adalah pengurus England, saya akan memilihnya kerana dia tidak pernah menghampakan," katanya.