Penjaga gol Everton, Jordan Pickford, yakin pasukannya akan dapat mengeluarkan diri daripada zon penyingkiran dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kelab Merseyside itu kini berada di tangga ke-18 liga dan dibezakan satu mata dengan pasukan di atasnya tatkala mereka bakal turun menentang Watford, esok.

Musim ini pastinya ingin dilupakan seluruh kem Everton selepas Ronald Koeman dipecat pada bulan lalu, namun Pickford optimis masa depan kelabnya akan berubah.

"Ia bukan sesuatu yang bagus tetapi kami bakal kembali ke rentak kemenangan.

"Kami bukan sebuah pasukan yang akan berada dalam kelompok bawahan selama-lamanya, cuma nasib belum menyebelahi kami," kata Pickford.

"Ia jelas satu senario yang berbeza buat saya musim lalu. Satu kemenangan sudah boleh menaikkan kami ke tangga ke-13.

"Kemenangan itu akan disusuli tiga mata setiap minggu dan daripada situ, keyakinan akan kembali ke dalam pasukan," tambahnya.

"Everton mengharungi banyak perlawanan yang teruk pada musim ini, terutama dalam saingan Liga Europa tetapi ia tidak boleh menjadi alasan.

"Kami mempunyai Wayne Rooney serta beberapa pemain yang pernah mengecapi kejayaan dan faktor itu pastinya akan membantu kami," tambahnya.