Frank Lampard menghangatkan suasana menjelang pertemuan Chelsea dengan Manchester United dalam separuh akhir Piala FA awal pagi Isnin ini dengan berkata skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu mendapat kelebihan daripada video bantuan pengadil (VAR) kebelakangan ini.

The Blues kendalian Lampard akan berdepan United di Wembley dengan Chelsea tewas kesemua tiga perlawanan terdahulu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala EFL.

Gol penalti Marcus Rashford memberikan United kemenangan 4-0 pada Ogos lalu, salah satu daripada keseluruhan 13 sepakan penalti yang diperoleh mereka sepanjang EPL musim ini.

Gol penalti terbaru mereka -- yang dimenangi Bruno Fernandes di Aston Villa -- menimbulkan perdebatan dan United dianggap bernasib baik kerana kekasaran yang dilakukan Victor Lindelof ke atas Wilfried Zaha tidak disemak VAR untuk United memperoleh kemenangan 2-0 ke atas Palace.

Lampard menyedari kehadiran VAR musim ini bertujuan untuk menepis dakwaan terdapat kecenderungan untuk melindungi kelab-kelab besar tetapi dia berasakan sistem itu telah membantu United sejak kebelakangan ini.

"Jika anda imbas kembali, ada yang mengatakan ia (keputusan) akan memihak kelab-kelab besar, mungkin disebabkan tekanan atau pengaruh penyokong, saya tidak tahu (tetapi) waktu itu sudah berlalu," katanya kepada wartawan.

"VAR hadir untuk mengubah perkara itu dan bukannya untuk kelab-kelab besar tetapi untuk mendapatkan keputusan yang tepat.

"Masih terdapat elemen manusia dalam VAR, sudah pasti, amat jelas merekalah yang perlu membuat keputusan.

"Apa yang mengelirukan dalam beberapa keputusan lalu, ia benar-benar jelas bahawa terdapat keputusan yang salah dan tidak mendapat semakan semula dan diubah dan ia kerap berlaku. Ini agak menghairankan.

"Saya fikir adakalanya anda tidak boleh terlalu mengharapkan VAR. Ada sesetengah keputusannya mungkin tidak memihak anda.

"Tetapi buat masa ini ia kelihatan lebih memihak Manchester United. Mereka memperoleh beberapa keputusan yang memihak mereka," katanya.

Lampard turut menegaskan dia tidak berniat untuk menjadikan tiga kekalahan lalu sebagai motivasi untuk membalas dendam.

"Saya fikir ia lebih daripada sekadar itu.

"Menyedari keadaan perlawanan itu, dan menyedari kami sudah tewas sebanyak tiga kali, itulah faktanya. Saya tidak berminat untuk membalas dendam atau perkara seperti itu.

"Saya hanya mahu memenangi perlawanan menentang pasukan yang amat bagus," katanya lagi.