Emile Smith Rowe berasa lega sambil menganggap Arsenal telah menemui persefahaman baru selepas memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Newcastle United 2-0 dalam Piala FA awal pagi tadi.

Arsenal bergelut dalam memulakan kempen mempertahankan kejuaraan mereka sebelum pemain tengah, Smith Rowe, memecahkan kebuntuan pada minit ke-109 dan Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat masuk hantaran Kieran Tierney dari jarak dekat.

Ia mungkin memberikan penamat berbeza buat Smith Rowe seandainya pengadil tidak mengubah layangan kad merah kepada kad kuning buatnya selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR) pada waktu kecederaan 90 minit sebenar.

"Saya amat gembira, sedikit lega disebabkan insiden sebelum itu -- ia sememangnya tidak berniat -- gembira kerana dapat menjaringkan gol dan layak ke peringkat seterusnya," kata pemain berusia 20 tahun itu kepada BBC Sport.

"Kami sedar betapa sukarnya perlawanan ini, mereka adalah lawan yang sukar. Ia tentang mematahkan semangat mereka," katanya.

Keputusan Mikel Arteta membawa masuk Smith Rowe dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) telah menyaksikan mereka memenangi tiga perlawanan berturut-turut bermula dengan menewaskan Chelsea 3-1 pada Boxing Day.

"Sejak dari kecil, saya memang mahu bermain untuk kelab ini, saya amat gembira.

"Ia menunjukkan kebersamaan kami, kami berusaha di luar padang untuk menjadi lebih rapat sebagai sebuah pasukan dan ia berhasil," katanya lagi.