Jurgen Klopp menghamburkan pujian buat pemain muda Aston Villa kerana dapat menyaingi Liverpool dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA awal pagi tadi.

Gara-gara pasukan utama mereka dilanda wabak COVID-19 di pusat latihan, pasukan tuan rumah itu terpaksa mempertaruhkan pengurus skuad B-23, Mark Delaney, dan pasukan yang dipenuhi pemain muda dalam menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Barisan pemain muda itu terbukti mampu bersaing hebat sehinggakan mengikat kedudukan 1-1 sebelum waktu rehat hasil jaringan Louie Barry.

Liverpool mendominasi babak kedua untuk merekodkan kemenangan 4-1 tetapi Klopp tertarik dengan apa yang dipamerkan pasukan lawannya.

Pengurus berbangsa Jerman berkenaan juga gembira apabila pasukannya dapat menyelesaikan "masalah bola sepak" mereka.

Dia berkata: "Pemain muda ini beraksi dengan amat baik, pemain muda Aston Villa melakukannya dengan amat baik, mereka tersusun dan bemain seperti itu.

"Amat jelas. Kami menjaringkan gol awal, gol yang cantik, dan kemudian kami tidak bermain dengan cukup pantas lagi, tidak bergerak dengan cukup laju, tidak bermain di ruang yang betul.

"Ini semua adalah masalah bola sepak dan kami menyelesaikan masalah bola sepak itu dalam babak kedua, jadi saya tidak kisah mengenainya.

"Ia sesuatu yang amat licik. Saya sebelum ini tidak pernah berdepan cabaran seperti itu dalam hidup saya, sehingga tidak tahu siapa yang anda sedang berlawan -- benar-benar tidak tahu; segala yang anda lakukan sebagai persediaan sebelum itu sudah boleh dibuang ke tong sampah, semua rakaman video ke tong sampah, anda perlu bermula baru.

"Itulah bola sepak dan pemain dari akademi adalah pemain yang bagus. Tahun lalu kami bermain di sini dengan pemain muda kami dan mereka turut memberikan tentangan hebat kepada Aston Villa. Ia memang seperti itu.

"Pemain muda ini benar-benar boleh bermain bola sepak dan jika anda tidak bermain baik ketika menentang mereka, anda akan berdepan masalah.

"Dalam babak kedua, kami bermain dengan cara yang sepatutnya kami bermain sejak dari awal dan kerana itu lah kami dapat menang, dengan cara yang betul," katanya.