Mikel Arteta percaya Piala FA kini lebih sukar dimenangi ketika Arsenal sedang mencongak perhitungan dengan Manchester City dalam separuh akhir di Stadium Wembley awal pagi esok.

Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu di peringkat sama, The Gunners kendalian Arsene Wenger menafikan impian Pep Guardiola untuk memperoleh trofi pertamanya bersama City dengan Alexis Sanchez menjaringkan gol kemenangan 2-1 Arsenal dalam waktu kecederaan.

Bagaimanapun, City kemudian memenangi kesemua tujuh pertemuan terakhir, termasuk dalam final Piala EFL 2008 -- kejuaraan yang menjadi pemangkin Guardiola menjulang enam daripada lapan gelaran utama bola sepak Inggeris.

Jika dia mahu memperoleh piala ketujuh daripada sembilan yang ditawarkan, dia perlu mengatasi Arsenal dalam separuh akhir sebelum bertemu Manchester United atau Chelsea.

Arteta memenangi dua kejuaraan Piala FA berturut-turut di bawah kendalian Wenger pada 2014 dan 2015, namun pengurus Arsenal itu berasakan saingan musim akan menjadi lebih sukar berbanding sebelumnya.

"Saya fikir kebanyakan kelab menggunakan kejohanan ini untuk memberi peluang kepada pemain muda atau mengubah skuad mereka," kata bekas penolong jurulatih kepada Guardiola itu.

"Melihat kepada separuh akhir kali ini, lihat sahaja berapa banyak penggiliran pemain, lihat betapa setiap orang mahu memenangi gelaran.

"Kelab-kelab besar menyedari betapa sukarnya untuk memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.

"Mereka memerlukan gelaran dan akan memberikan segala-galanya dalam kejohanan ini.

"Ia kini menjadi lebih sukar untuk dimenangi berbanding sebelumnya," katanya.