Piala FA: Arteta puji David Luiz sebagai wira Arsenal

Oleh Muzaffar Musa 19 Julai 2020 1823
Piala FA: Arteta puji David Luiz sebagai wira Arsenal
David Luiz layak menerima segala pujian buatnya selepas Arsenal menyingkirkan Manchester City dalam separuh akhir Piala FA, kata pengurus pasukan itu, Mikel Arteta.

Kualiti pertahanan Brazil itu kerap dipersoalkan sebelum ini berikutan kesilapan besar dan berprofil tinggi yang dilakukannya tetapi dia memaparkan aksi terbaiknya ketika Arsenal mengejutkan Manchester City dengan kemenangan 2-0 di Wembley awal pagi tadi.

Dia menyelamatkan keadaan sebanyak 11 kali, melakukan empat pintasan dan satu hadangan penting yang menafikan percubaan Raheem Sterling dalam babak kedua -- statistik Opta juga menunjukkan dia memenangi empat perebutan bola di udara dan menyentuh bola lebih banyak berbanding rakan sepasukannya yang lain.

David Luiz menerima pujian daripada bekas kapten England, Rio Ferdinand, selepas perlawanan itu susulan aksi hebatnya yang membentuk barisan pertahanan ampuh bersama Shkodran Mustafi dan Kieran Tierney.

Ia bertentangan dengan apa yang pemain Brazil itu lakukan ketika pasukannya tewas 0-3 kepada City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu.

Ketika itu, dia masuk sebagai pemain gantian dan menjadi punca gol pertama City sebelum dilayangkan kad merah dalam insiden yang memberikan City sepakan penalti dalam babak kedua.

"Ia adalah sebahagian daripada bola sepak. Saya tidak pernah meragui reaksi yang akan ditunjukkan David Luiz.

"Dia menyerah kalah sewaktu tewas kepada City tetapi dia tidak perlu melakukannya hari ini.

"Kita semua melakukan kesilapan. Cara dia berlatih, membantu pemain lain dan bermain baik, ia adalah satu fenomena.

"Saya gembira setiap orang dapat melihat kehebatannya sekarang. Saya memujinya kerana dia layak menerimanya," katanya.
 
Arsenal turut mengejutkan ramai pihak sebaik melanjutkan kontrak David Luiz selama setahun, hanya sehari selepas pemain berusia 33 tahun itu beraksi buruk di Stadium Etihad.
 
"Apa yang diperlukannya adalah kepercayaan daripada kami, di mana kami tiada keraguan mengenai apa yang mampu dilakukannya.

"Jalan terbaik adalah dengan menurunkannya.

"Dia berdepan waktu sukar tetapi dia juga memperoleh beberapa momen yang luar biasa.

"Atlet-atet besar akan mengharungi keadaan itu -- saya gembira dia dapat beraksi di tahap sebenarnya sekarang.

"Saya mahu dia beraksi baik di atas padang. Dia melakukannya kembali dengan cara yang amat baik. Saya benar-benar gembira dengannya hari ini," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen